Untai Kata


counter

Tuesday, 15 April 2014

Hikayat Raja Pasai

1.0              Pendahuluan
Kesusasteraan dalam bahasa Inggeris disebut literature bermaksud ‘segala sesuatu yang tertulis’. Literature berasal dari perkataan Latin littera (letter) yang bermaksud kata-kata yang tertulis dan bercetak. Walau bagaimanapun, makna ini sangat umum dan tidak dapat menunjukkan kondisi kesusasteraan itu setepatnya. Kita mungkin menghadapi kesukaran untuk mengkategorikan karya tulisan yang berkaitan dengan ilmu sains, geografi, teknologi dan lain-lain, jika makna sedemikian diterima. Dalam alam Melayu, istilah sastera berasal daripada perkataan Sanskrit dari kata akar sas yang membawa maksud mengajar dan tra merujuk kepada alat/sarana atau juga membawa maksud menyampaikan pengajaran (A. Teeuw,1995:3). Dalam konteks ini, sastera bermakna alat untuk menyampaikan pengajaran. Selanjutnya, hasil-hasil kesusasteraan boleh difahami sebagai hasil-hasil yang melengkapkan maksud alat menyampaikan pengajaran.
Menurut Hashim Awang (1985) sastera merupakan ciptaan atau hasil seni yang disampaikan melalui bahasa; sastera membentuk tamadun; hubungannya rapat dengan masyarakat dan terlibat dengan pergolakan yang berlaku dalam masyarakat. Selain itu, menurut Baharuddin Zainal (1975) mengatakan bahawa karya sastera membicarakan apa yang berlaku dalam sesuatu masyarakat. Beliau membahagikan makna perkataan sastera kepada beberapa bahagian, iaitu yang pertama (sas) bermaksud mengarah, mengajar, memberi petunjuk, instruksi. Keduanya, (-tra) yang bermaksud alat atau saran seni dan ketiga ialah (sastra) membawa maksud alat untuk mengajar, buku petunjuk, buku instruksi atau pengajaran. Manakala yang keempat ialah (Kesusasteraan) membawa maksud segala yang tertulis, yang bernilai seni, estetik, serta dengan maksud memberikan panduan, petunjuk dan pengajaran.
Secara umumnya, daripada pendapat tokoh dan huraian makna yang diterangkan, kita dapat memahami bahawa sastera atau kesusasteraan ini sebenarnya sangat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat. Kita tidak hanya boleh melihat kesusasteraan sebagai suatu medium untuk hiburan semata-mata kerana makna sastera lebih mendalam daripada itu. Hal ini disebabkan, dalam sesebuah karya sastera terselit pelbagai pengajaran dan nasihat yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Mungkin ada pendapat yang mengatakan bahawa karya kesusasteraan ini hanya membuang masa kerana menggunakan ayat yang berbelit-belit, tetapi sebenarnya mereka silap kerana membuat andaian begitu. Jika kita betul-betul menghayati sesebuah karya sastera, sebenarnya terdapat nasihat atau teguran yang dilakukan secara halus yang bersesuaian dengan budaya dan jiwa masyarakat Melayu yang lembut dan halus.
Seperti mana yang terdapat dalam karya klasik ‘Hikayat Raja Pasai’. Karya ini juga termasuk dalam genre sejarah kesusasteraan Melayu. Walaupun teks ini telah menerima unsur tokok tambah dari satu generasi ke generasi yang lain. Namun, terdapat ramai pengkaji yang berminat untuk mengkaji hikayat ini kerana keunikan isi dan jalan ceritanya. Antara tokoh yang terlibat ialah Russell Jones dan Mazlina Harun. Dalam karya ini terkandung pelbagai pengajaran sama ada secara lansung atau tidak langsung dengan kehidupan kita. Melalui jalan cerita yang dikarang oleh penulis, menunjukkan kepada kita pelbagai sikap manusia yang terdapat di Muka Bumi Allah ini. Antara pengajaran yang terkandung dalam karya ‘Hikayat Raja Pasai’ ini ialah sikap gigih dan kebijaksanaan manusia dalam membina sesebuah empayar atau negeri seperti yang dilakukan oleh Sultan Malikul Saleh dan sikap kurang bijak serta mengikut nafsu sultan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pasai itu sendiri.
2.0              Sejarah Jurai Keturunan
Sejarah jurai keturunan dalam Hikayat Raja Pasai ini bermula daripada dua bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang hendak membuka negeri di Samarlanga. Kemudian Raja Muhammad menjumpai seorang kanak-kanak perempuan di rebung betung semasa baginda pergi menebas di hutan kerana ingin membuka negeri dan kanak-kanak itu diberi nama Puteri Betung. Selepas itu, Raja Ahmad pula membuka negeri di Balik Rimba. Pada suatu hari, baginda pergi memburu dan berjumpa dengan seorang tua di dalam sebuah surau. Raja Ahmad menceritakan kepada orang tua itu perihal adindanya mendapat seorang anak dari rebung betung. Selepas mendapat nasihat daripada orang tua itu, Raja Ahmad pun mendapat seorang anak lelaki yang dibela oleh seekor gajah. Anaknya itu dinamakan Merah Gajah.
           Apabila kedua-dua anak bersaudara itu telah dewasa, iaitu Merah Gajah dan Puteri Betung. Mereka berdua pun telah dikahwinkan sesama sendiri oleh Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Kemudiannya, Merah Gajah dan Puteri Betung pun mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau. Selepas beberapa lama kemudian, pasangan ini mendapat seorang lagi anak yang diberi nama Merah Hasum. Namun, pada suatu hari Merah Gajah telah mencabut rambut emas yang ada di kepala Puteri Betung, walaupun Puteri Betung pernah melarangnya berbuat begitu. Disebabkan tindakan Merah Gajah itu, keluarlah darah berwarna putih dari atas kepala Puteri Betung dan secara tiba-tiba Puteri Betung pun hilang. Raja Muhammad pun menjadi marah apabila mengetahui berita tentang kehilangan Puteri Betung ini dan baginda telah bertindak membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mendapat tahu tentang perkara itu, baginda pula mengambil tindakan dengan menyerang negeri Raja Muhammad dan berlakulah peperangan antara mereka. Akhirnya, kedua-dua mereka pun terbunuh dalam peperangan itu.
         Selepas kejadian itu, maka yang tinggal hanyalah anak kepada Merah Gajah dan Puteri Betung, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum. Dua bersaudara ini pun telah pergi ke Biruan meninggalkan tempat asal mereka yang sudah tiada apa-apa lagi selepas berlaku peperangan antara kedua datuk mereka. Pada suatu hari, Merah Silau telah keluar untuk berbubu ikan tetapi tiada seekor ikan pun yang diperolehinya. Cuma yang ada di dalam bubu ikannya itu hanyalah gelang-gelang. Keesokan harinya, Merah Silau pergi berbubu lagi dan hasilnya tetap sama, iaitu hanya mendapat gelang-gelang. Selepas tiga hari, barulah kali ini Merah Silau mengambil tindakan membawa balik gelang-gelang tersebut dan direbusnya gelang-gelang itu. Dengan takdir Allah taala gelang-gelang itu pun menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Namun, Merah Hasum yang mendapat tahu tentang berita ini menganggap Merah Silau sudah gila kerana memakan gelang-gelang tersebut.
         Setelah itu, berlaku satu lagi salah faham apabila tindakan Merah Silau menjinakkan kerbau liar di kawasan tersebut menyebabkan Merah Hasum menjadi marah kerana menganggap perbuatan Merah Silau itu sebagai sesuatu yang memalukan maruah raja. Merah Hasum pun telah menghalau Merah Silau dari tempat itu. Merah Silau dan pengikutnya pun berpindah ke Sungai Pasangan dan ke Hulu Kalang tetapi mereka telah dihalau kerana kerbau Merah Silau telah merosakkan tanaman orang di situ. Kemudian, Merah Silau pergi pula ke Buluh Telang. Di sana dia bertemu dengan Megat Sekandar dan merestui dia tinggal di Buluh Telang. Megat Sekandar dan Megat Kedah ialah kekanda kepada Sultan Malikul Nasir di Rimba Jerana. Megat Sekandar hendak mengangkat Merah Silau menjadi raja tetapi dibantah oleh Tun Haria Benung. Apabila Merah Silau menjadi raja, Sultan Malikul Nasir menyerangnya dan berlaku peperangan yang panjang. Akhirnya, Sultan Malikul Nasir melarikan diri ke Kumat. Di Kumat, Sultan Malikul Nasir pula diserang oleh Megat Sekandar dan Sultan Malikul Nasir tewas. Hulubalangnya bernama Tun Haria Benung lari ke negeri Barus. Akhirnya, Merah Silau diangkat sebagai raja di Rimba Jerana.
          Pada suatu hari, Merah Silau pergi berburu dengan pengikutnya dan ketika itulah Merah Silau telah membuka sebuah negeri baru yang diberi nama Samudera. Setelah kedatangan Islam di Samudera, nama Merah Silau telah ditukarkan kepada Sultan Malikul Saleh. Kemudiannya, Sultan Malikul Saleh telah berkahwin dengan anak gundik raja Perlak, iaitu Tuan Puteri Ganggang. Setelah berkahwin, Sultan Malikul Saleh dan Tuan Puteri Ganggang telah dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang diberi nama Sultan Malikul Tahir. Selepas itu, Sultan Malikul Saleh telah keluar berburu dengan hulubalangnya. Semasa di dalam hutan di tepi laut itu, berlaku satu peristiwa yang aneh, iaitu apabila seekor pelanduk berani mempertahankan tempat duduknya walaupun anjing perburuan yang dibawa oleh baginda menyerang untuk menangkapnya. Apabila melihat keadaan itu, baginda terfikir untuk menjadikan tempat itu sebagai sebuah negeri untuk puteranya, iaitu Sultan Malikul Tahir. Disebabkan itu, sebuah negeri yang bernama Pasai telah dibuka dan namanya diambil sempena nama anjing perburuan, iaitu Si Pasai yang telah mati.
Selepas itu, Sultan Malikul Tahir pun dilantik menjadi pemerintah di negeri yang diberi nama Pasai itu. Setelah beberapa lama menjadi pemerintah di sana, akhirnya dengan anugerah Allah taala Sultan Malikul Tahir pun dikurniakan dengan dua orang anak lelaki, iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul Mansur. Namun, sebelum sempat anak baginda menjadi dewasa, baginda telah jatuh sakit dan telah kembali ke rahmatullah. Disebabkan anak-anak baginda masih kecil semasa baginda kembali ke rahmatullah, maka nenendalah yang memerintah kerajaan negeri Pasai sementara menunggu cucunda baginda kedua itu besar sebelum boleh memerintah negeri Pasai itu. Anak raja yang bernama Sultan Malikul Mahmud diserahkan nenenda baginda kepada Sayid [Ali] Ghiatuddin supaya baginda belajar segala ilmu, bermain senjata, menaiki gajah dan menunggang kuda. Sultan Malikul Mansur pula diserahkan nenenda baginda kepada Sayid Semayamuddin.
        Apabila Sultan Malikul Mahmud menjadi dewasa, pemerintahan kerajaan Pasai pun diserahkan kepadanya dan Sayid Ali Ghiatuddin menjadi Perdana Menterinya. Adiknya pula, iaitu Sultan Malikul Mansur dibawa pulang ke Samudera kerana Sultan Malikul Mansur masih kecil pada ketika itu. Apabila Sultan Malikul Mansur menjadi dewasa, baginda telah dilantik menjadi pemerintah di Samudera dan Sayid Semayamuddin menjadi Perdana Menteri baginda. Selepas pertabalan Sultan Malikul Mansur sebagai pemerintah di Samudera, Sultan Malikul Saleh pun mangkat. Kedua-dua saudara ini pun memerintah negeri masing-masing dengan sebaiknya. Setelah beberapa lama memerintah di negeri Pasai, Sultan Malikul Mahmud pun dikurniakan tiga orang anak, iaitu dua perempuan dan seorang lelaki yang diberi nama Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Adinda baginda, Sultan Malikul Mansur turut memperolehi tiga orang anak, iaitu dua perempuan dan seorang lelaki hasil perkahwinan baginda dengan seorang perempuan dari istana Pasai. Setelah mendapat tahu tentang perkara itu, Sultan Malikul Mahmud pun menjadi marah. Baginda telah mengambil tindakan dengan membuang Sultan Malikul Mansur ke satu negeri yang jauh dari tempat asalnya, iaitu di negeri Temiang manakala Perdana Menteri adindanya dijatuhkan hukuman penggal lehernya dan badannya pula disula di Kuala Pasai.
      Namun, selepas Sultan Malikul Mahmud sedar bahawa tindakannya itu keterlaluan. Baginda mengarahkan adindanya untuk pulang tetapi adinda baginda, iaitu Sultan Malikul Mansur mangkat sebelum sempat pulang semula. Baginda begitu menyesal sehingga jatuh sakit. Selepas kejadian itu, baginda melantik puteranya pula menjadi raja di negeri Pasai, iaitu Sultan Ahmad. Sultan Ahmad mempunyai 30 orang anak tetapi yang seibu sebapa hanya 5 orang, iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil dan dua orang perempuan, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Ketiga-tiga putera baginda mempunyai kelebihan yang berbeza. Tun Beraim Bapa merupakan seorang yang perkasa dan pahlawan. Tiada sesiapa yang sepertinya, iaitu dengan ketinggian tujuh hasta dan dua hasta bidang dadanya. Jika dia membaling buah kelapa dari negerinya, dikatakan boleh sampai hingga ke benua Keling. Manakala putera keduanya pula, iaitu Tun Abdul Jalil mempunyai rupa paras yang baik. Tiada sesiapa yang sepertinya, sehinggakan jikalau dia berdiri di pintu tani maka berserilah pintu itu dan jikalau ia memakai cara Jawa serupa Jawa, Siam serupa Siam sehinggakan menarik minat Tuan Puteri Gemerencang anak Ratu Majapahit. Selain itu, ada seorang lagi putera baginda, iaitu Tun Abul Fadil. Tun Abul Fadil merupakan seorang yang alim serta mempunyai pengetahuan tentang ilmu pendeta. Beberapa orang yang pernah menguji ilmu Tun Abul Fadil ini turut memuji kebijaksanaannya.      
3.0              Sejarah Pembukaan Negeri
3.1              Pembukaan Negeri Samudera
Sejarah pembukaan negeri yang bernama Samudera ini sebenarnya bermula apabila pada suatu hari Merah Silau yang ketika itu merupakan raja di Rimba Jerana ingin pergi berburu di hutan. Kemudian, Merah Silau dan seluruh hulubalangnya pun keluarlah pergi berburu di hutan tersebut. Semasa pergi berburu, Merah Silau turut membawa bersama-sama dengannya seekor anjing yang bernama Si Pasai. Anjing yang bernama Si Pasai ini pun dilepaskan oleh Merah Silau untuk mengesan haiwan yang bakal menjadi mangsa pemburuan mereka. Selepas beberapa ketika, Merah Silau terdengar bunyi anjing yang bernama Si Pasai itu menyalak di atas sebuah tanah tinggi. Merah Silau pun pergi melihat apa yang terjadi kepada anjing tersebut. Maka dilihatnya ada seekor semut yang besar seperti seekor kucing. Selepas melihat semut tersebut, Merah Silau pun menangkapnya dan dimakannya semut itu.
Selepas kejadian itu, Merah Silau pun mengarahkan semua orang yang mengikutnya semasa berburu itu untuk menebas dan membersihkan kawasan tersebut. Selepas semua kawasan itu ditebas dan dibersihkan dengan sempurna, Merah Silau pun mengarahkan orang-orangnya untuk mendirikan sebuah istana di kawasan itu. Setelah istana itu siap dibina, Merah Silau pun berpindah ke istana tersebut untuk menetap di sana bersama-sama dengan seluruh hulubalang dan rakyatnya. Kemudiannya, selepas semuanya selesai berpindah ke kawasan yang baru itu, Merah Silau pun menamakan negeri itu dengan nama Samudera yang membawa maksud seekor semut yang amat besar. Akhirnya, Merah Silau pun menetaplah di sana sebagai raja negeri Samudera itu.
3.2              Pembukaan Negeri Pasai
Individu yang bertanggungjawab dalam sejarah pembukaan negeri yang bernama Pasai ini sebenarnya merupakan orang yang sama semasa membuka negeri Samudera, iaitu Merah Silau. Namun, semasa membuka negeri Pasai ini dia tidak lagi digelar Merah Silau tetapi gelarannya ketika itu ialah Sultan Malikul Saleh kerana baginda telah memeluk agama Islam. Kisahnya bermula apabila pada suatu hari baginda keluar berburu dengan segala askarnya di tepi laut. Semasa pergi berburu itu, baginda turut membawa bersama-sama dengannya seekor anjing yang bernama Si Pasai. Apabila  sampai di tepi laut, baginda mengarahkan agar anjing tersebut dilepaskan untuk mengesan haiwan pemburuan mereka. Selepas anjing itu dilepaskan, anjing itu pun terus masuk ke dalam hutan di tepi laut itu.
Anjing yang bernama Si Pasai itu pun bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang duduk di atas tanah yang tinggi. Anjing itu pun menyalak dan ingin menangkap pelanduk yang berada di atas tanah tinggi itu. Apabila pelanduk itu melihat anjing yang bernama Si Pasai itu ingin menangkapnya, pelanduk itu pun membalas kembali dengan menyalak kepada anjing tersebut dan anjing itu pun berundurlah kembali selepas melihat pelanduk itu menyalak kepadanya. Tatkala melihat anjing itu berundur, pelanduk itu pun kembali semula ke tempatnya yang tadi. Anjing itu pun cuba untuk menangkap pelanduk itu lagi dan kedua-duanya pun berdakap-dakapan kira-kira tujuh kali.
Apabila melihat kelakuan kedua-dua ekor haiwan tersebut baginda pun menjadi hairan. Baginda pun masuklah sendiri ke tanah yang tinggi itu untuk menangkap pelanduk tersebut. Namun, apabila melihat baginda datang untuk menangkapnya, pelanduk itu pun cuba untuk melarikan diri tetapi anjing tersebut terus mengigitnya. Selepas melihat keadaan itu, baginda pun bersabda kepada semua orang yang berada bersama dengannya, ‘Adakah pernahnya kamu lihat pelanduk yang gagah sebagai ini? Maka pada bicaraku sebab karna ia diam pada tempat ini, itulah rupanya maka pelanduk itu menjadi gagah.’ Baginda pun berfikir untuk menjadikan tempat itu sebagai sebuah negeri untuk puteranya, iaitu Sultan Malikul Tahir. Selepas itu, Sultan Malikul Saleh pun kembali semula ke istana.
Pada keesokan harinya, baginda memberikan titah kepada segala menteri, hulubalang, rakyat dan bala tentera sekalian agar menebas dan membersihkan tanah tersebut. Semua orang suruhan baginda pun melakukan kerja masing-masing dan akhirnya mereka membina sebuah istana seperti yang dititahkan oleh Sultan Malikul Saleh. Setelah selesai menyiapkan segala titah yang diberikan oleh sultan, secara kebetulan anjing perburuan yang bernama Si Pasai mati di tempat itu lalu sultan mengarahkan agar anjing itu ditanam di tempat itu juga. Akhirnya, baginda pun menamakan negeri itu dengan nama Pasai sempena nama anjing perburuan yang mati itu. Negeri Pasai ini pun diserahkan pemerintahannya kepada Sultan Malikul Tahir manakala Sultan Malikul Saleh pula terus kekal di Samudera.  
4.0              Sejarah Pengislaman
Kisah sejarah pengislaman raja dan masyarakat dalam Hikayat Raja Pasai sebenarnya bermula dari zaman Nabi Muhammad lagi. Mengikut kisah yang diceritakan, Nabi Muhammad atau Rasulullah (sallalahu alaihi wassalam) semasa hayat baginda masih hidup, baginda pernah bersabda kepada sahabat baginda di Mekah. Demikian sabda baginda, ‘Bahawa ada sepeninggalku wafat itu, ada sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya; apabila ada didengar khabar negeri itu, maka kamu suruh sebuah kapal membawa perkakas alat kerajaan dan kamu bawai orang dalam negeri itu masuk agama Islam serta mengucap dua khalimah syahadat. Syahadan lagi akan dijadikan Allah subhanahu wataala dalam negeri itu terbanyak daripada segala wali Allah jadi dalam negeri itu. Adapun pertama ada seorang fakir di negeri Mengiri namanya, iaitulah kamu bawa serta kamu ke negeri Samudera itu.’
       Kemudian selepas beberapa lama kewafatan Rasulullah (sallalahu alaihi wassalam), terdengarlah cerita kepada Syarif yang berada di Mekah tentang ada sebuah negeri di bawah angin yang bernama Samudera. Kemudian, Khalifah Syarif pun menyuruh orang menyediakan sebuah kapal untuk membawa segala perkakas alat kerajaan ke negeri Samudera. Setelah kapal tersebut siap diisi dengan segala barang yang ingin dibawa, Syarif Syekh Ismail pun menyuruh kapal tersebut singgah dahulu ke negeri Mengiri sebelum ke Samudera. Selepas beberapa lama berlayar, kapal tersebut pun sampailah ke negeri Mengiri dan mereka berlabuh di Teluk Mengiri. Nama raja di negeri Mengiri itu ialah Sultan Muhammad.
          Selepas berlabuh di Teluk Mengiri, kapal tersebut pun dilihat oleh orang Mengiri. Kemudian dengan segera orang itu masuk mengadap raja dan duduk bersembah, demikian sembahnya, ‘Daulat dirgahayu, Syah Alam; ada sebuah kapal berlabuh di teluk kita ini.’ Kemudian Sultan Muhammad pun bersabda kepada Perdana Menteri, demikian sabda baginda, ‘Hai Perdana Menteri, suruh lihati kapal itu.’ Selepas mendengar arahan daripada baginda tersebut, Perdana Menteri pun segera keluar menyuruh orang menaiki perahu untuk pergi melihat kapal tersebut. Apabila sampai di kapal tersebut mereka pun bertanya, ‘Dari mana kapal ini datang dan siapa nakhodanya dan ke mana ia hendak pergi?’ Kemudian jawab orang di atas kapal itu, ‘Adapun kapal ini dari Mekah dan nama nakhodanya Syekh Ismail disuruhkan oleh Khalifah Syarif di Mekah ke negeri yang bernama Samudera.’
          Setelah mendengar jawapan daripada orang dalam kapal tersebut mereka pun kembalilah ke darat. Selepas itu, mereka pergi berjumpa dengan Perdana Menteri dan menceritakan segala maklumat yang mereka perolehi, iaitu seperti yang diberitahu oleh orang di dalam kapal tersebut. Perdana Menteri pun masuk mengadap raja serta berdatang sembah, ‘Ya tuhanku Syah Alam, adapun kapal itu dari Mekah, nama nakhodanya Syekh Ismail, hendak pergi ke negeri Samudera.’
        Sebenarnya, Sultan Muhammad yang juga merupakan raja di negeri Mengiri ini merupakan anak cucu kepada Abu Bakar al-Siddiq (radiallahu anhu). Apabila mengetahui cerita sebenar tentang kedatangan kapal tersebut, maka sultan pun menyuruh orang untuk menghantar makanan dan segala keperluan yang diperlukan oleh Syekh Ismail. Setelah sampai semua makanan itu, sultan pun merajakan seorang anaknya yang tua (putera sulung) menggantikan tempatnya sebagai raja di negeri Mengiri. Kemudian baginda dua beranak, iaitu bersama dengan anaknya yang muda itu memakai pakaian fakir meninggalkan kerajaannya, mereka keluar dari istana lalu naik ke kapal itu. Baginda berkata kepada orang di dalam kapal itu, ‘Kamu bawa hamba ke negeri Samudera itu.’ Orang di atas kapal pun berbisik di dalam hati, ‘Bahawa inilah fakir yang seperti sabda Rasul (sallallahu alaihi wassalam) itu.’ Kemudian fakir itu pun dibawa naik ke kapal dan mulalah berlayar.
          Selepas itu, Merah Silau mendapat satu mimpi. Di dalam mimpi tersebut Merah Silau terlihat ada seseorang menampung dagunya dengan semua jarinya dan matanya ditutup dengan empat jarinya, demikian katanya, ‘Hai Merah Silau, ucap olehmu dua kalimah syahadat.’ Maka sahut Merah Silau, ‘Tiada hamba tahu mengucap akan dia.’ Kemudian ujarnya, ‘Bukakan mulutmu.’ Merah Silau pun membuka mulutnya, orang itu pun meludah ke dalam mulut Merah Silau dan rasanya lemak manis. Selepas itu, orang itu berkata kepada Merah Silau, ‘Hai Merah Silau, engkaulah Sultan Malikul Saleh namamu, sekarang Islamlah engkau dengan mengucap dua kalimah syahadat itu, dan segala binatang yang hidup lagi halal engkau sembelih maka kau makan, dan tiada disembelih jangan engkau makan. Sebermula dalam empat puluh hari lagi ada sebuah kapal datang dari Mekah; barang segala katanya dan barang segala perbuatannya yang berpatutan dengan segala pekerjaan agama Islam orang yang dalam kapal itu janganlah engkau lalui, dan hendaklah engkau turut barang pengajarnya.’
              Merah Silau pun bertanya, ‘Siapakah tuan hamba ini?’ Kemudian sahut suara dalam mimpi itu, ‘Akulah Nabi Muhammad Rasulullah (sallallahu alaihi wassalam) yang di Mekah itu.’ Akhirnya, ditanggalkan tangannya dari dagunya itu. Rasulullah bersabda kepada Merah Silau, ‘Tunduklah engkau ke bawah.’ Merah Silau pun tunduklah ke bawah dan terjaga daripada tidurnya, kemudian dia lihat ke bawah dan terlihat bahawa dia sudah dikhatankan. Maka katanya, ‘Ashhadu an la ilaha illa’llah wahdahu, la shari ka lahu, wa-ashhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa-rasuluhu.’ Setelah sudah ia mengucap dua kalimah itu, dia membaca pula al-Quran tiga puluh juz khatam dengan menghafalnya dan belum diajarkan kepada sesiapa pun. Semua rakyat dan hulubalang Merah Silau itu pun berkata sesama mereka yang mereka tidak faham apa yang dibacakan oleh Merah Silau itu.
          Selepas lama menempuh pelayaran, kapal Syekh Ismail pun sampailah ke Teluk Terli dan kapal itu pun berlabuh. Kemudian fakir itu pun naik ke darat dan bertemu dengan seorang yang sedang menjala ikan. Fakir itu bertanya kepada penjala ikan tersebut, ‘Apakah nama negeri ini?’ Orang itu menjawab, ‘Adapun nama negeri ini Samudera.’ Fakir itu bertanya lagi, ‘Siapa nama penghulunya?’ Jawab penjala ikan itu, ‘Nama raja dalam negeri ini Merah Silau, dan bergelar Sultan Malikul Saleh.’ Pada keesokan harinya, Syekh Ismail pun turun ke darat dan pergi berjumpa dengan Sultan Malikul Saleh. Syekh Ismail berkata, ‘Hai Sultan, ucaplah oleh tuan hamba dua kalimah syahadat.’ Sultan pun menurut arahan yang diberikan oleh Syekh Ismail dengan mengucap dua kalimah syahadat. Setelah sudah Syekh Ismail pun menyapu janggutnya.
       Pada keesokan harinya, fakir datang membawa Quran tiga puluh juz kepada Sultan Malikul Saleh. Quran itu ditunjukkan kepada Sultan Malikul Saleh dan disambutnya dengan takzim lalu dijunjungnya serta dibacakannya. Sultan Malikul Saleh tidak perlu diajar membaca Quran tersebut kerana dia sudah tahu membacanya sendiri. Melihat keadaan itu, fakir dan Syekh Ismail pun mengucap, ‘Al-hamdu li’llahi Rabbi’l-’alamin.’ Setelah selesai, Syekh Ismail meminta agar dihimpunkan semua hulubalang dan seluruh rakyat di dalam negeri Samudera itu. Apabila semuanya sudah berhimpun, Syekh Ismail pun mengajar semua hulubalang dan rakyat tersebut mengucap dua kalimah syahadat. Semua mereka menerima dengan rela hati dan mengucap dua kalimah syahadat tersebut dengan setulus hati. Oleh sebab itulah, maka dinamai Samudera itu Negeri Darulsalam kerana semua orang atau rakyat di negeri itu menerima agama Islam dengan rela hati tanpa perlu dipaksa dan berperang. 
Kemudian seluruh perkakas alat kerajaan pun dibawa turun ke Samudera, pada ketika yang baik seluruh rakyat pun berhimpun mengadap sultan. Sultan pun memakai selengkap pakaian kerajaan nugeraha dari Mekah kerana akan ditabal. Semua hulubalang bersiap sedia dengan tugas masing-masing. Selepas itu, seluruh hulubalang dan rakyat menjunjung duli menyembah mengatakan, ‘Daulat dirgahayu Syah Alam, zillu ‘llahi fi ‘l-’alam.’ Setelah beberapa hari di Samudera Darulsalam, Syekh Ismail pun datang mengadap Sultan Malikul Saleh memohon untuk pulang ke Mekah. Baginda menyiapkan beberapa barang untuk dibawa balik oleh Syekh Ismail sebagai fidyah kepada Khalifah Syarif Mekah yang dipohonkan berkat doa dahulu Allah dan berkat syafaat Nabi Muhammad Rasulullah serta berkat Khalifah Al-Syarif. Syekh Ismail pun belayarlah pulang ke Mekah manakala fakir itu pula terus mengembangkan agama Islam dalam negeri Samudera.
5.0              Sejarah Kejatuhan Raja Pasai
Zaman kejatuhan Raja Pasai sebenarnya bermula ketika negeri Pasai berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad telah dilantik menjadi sultan di negeri Pasai setelah kemangkatan ayahanda baginda, iaitu Sultan Malikul Mahmud. Sultan Ahmad dikhabarkan mempunyai 30 orang anak tetapi yang seibu sebapa hanya lima orang, iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Walaupun, Sultan Ahmad ini dikhabarlan sebagai seorang pemerintah yang baik dan merupakan pemerintah Pasai pada sebahagian besar tempoh yang diliputi oleh Hikayat Raja Pasai. Namun, baginda mempunyai satu sifat dan perangai yang sama ada sedar atau tidak telah membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pasai ini.
         Sultan Ahmad mempunyai nafsu kepada anak perempuannya sendiri kerana baginda telah jatuh berahi kepada Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Setelah Tun Beraim Bapa mengetahui tentang perkara ini, dia telah membawa kedua saudaranya ini ke Tukas untuk tinggal bersama-sama dengannya. Hal ini menyebabkan Sultan Ahmad menjadi marah kerana hajatnya tidak kesampaian apabila Tun Beraim Bapa telah menyelamatkan kedua saudaranya itu. Disebabkan perasaan marah terhadap Tun Beraim Bapa, baginda telah berniat untuk membunuh Tun Beraim Bapa. Namun, niatnya itu terpaksa ditangguhkan apabila ada empat orang pendekar Keling telah datang ke Pasai dan ingin melanggar peraturan di negeri Pasai. Atas bantuan Tun Beraim Bapa dan sahabat-sahabatnya, pendekar dari Keling itu pun mengundur diri. Kemudiannya, Tun Beraim Bapa telah bergurau dengan Tun Fatimah Lempau semasa berada di istana ayahandanya di Pasai sehingga istana Pasai bergegar. Hal ini menyebabkan, Sultan Ahmad semakin marah kepada Tun Beraim Bapa dan mengatur strategi untuk membunuhnya.
           Pada suatu hari, Sultan Ahmad ingin keluar bersiar-siar di hutan dan baginda meminta bantuan Tun Beraim Bapa untuk menangkap ikan dan menjala. Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa menyelam di Sungai Pasai dan selepas Tun Beraim menyelam, baginda mengarahkan hulubalangnya menetak Tun Beraim sekiranya dia timbul. Namun, Tun Beraim selamat kerana dia timbul jauh dari tempat itu. Kemudiannya, Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim membuang batang yang melekat pada perahunya. Tun Beraim berjaya melepaskan perahu yang tersangkut dan tidak mati lemas. Seterusnya, Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim memakan peniaram yang diletakkan racun. Namun, dia memberikan kepada anjing dan ayam, kedua-dua haiwan itu pun mati. Dua saudaranya, iaitu Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara juga mati keracunan selepas mereka memakan peniaram itu untuk menyelamatkan Tun Beraim. Namun, Tun Beraim tidak mahu menderhaka, maka dia pun makanlah peniaram yang beracun itu lalu jatuh sakit. Tun Beraim akhirnya mangkat dan dikebumikan di Bukit Fudul Allah. Sultan Ahmad bergitu gembira dengan kematian anaknya itu. Namun, baginda tidak sedar bahawa kekuatan negeri Pasai menjadi goyah disebabkan kematian Tun Beraim Bapa ini.
         Seterusnya, bibit-bibit kejatuhan kerajaan Pasai turut disebabkan oleh tindakan Sultan Ahmad yang kedua ini. Selepas membunuh Tun Beraim Bapa, Sultan Ahmad telah bertindak pula membunuh Tun Abdul Jalil. Kisahnya bermula apabila Tuan Puteri Gemerencang, iaitu anak kepada Ratu Majapahit telah menyuruh Tun Perpatih Jena melukis potret anak-anak raja dan termasuklah Tun Abdul Jalil. Melihat potret itu, tuan puteri berasa berahi kepada Tun Abdul Jalil dan ingin berjumpa dengannya. Ayahnya, menghantar Tuan Puteri Gemerencang ke Pasai untuk bertemu Tun Abdul Jalil. Namun, Sultan Ahmad cemburu mendengar hal itu lalu bertindak membunuh Tun Abdul Jalil. Tuan Puteri Gemerencang mengetahui Sultan Ahmad telah membunuh Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Tuan Puteri memohon pada Allah agar karamkan ghurabnya di Jambu Air supaya dia dapat bertemu dengan Tun Abdul Jalil dan doanya dimakbulkan Allah.
        Ratu Majapahit menjadi marah selepas mendapat tahu anaknya, iaitu Puteri Gemerencang mati lemas di Jambu Air. Ratu Majapahit mengarahkan segala menteri dan tenteranya menyerang Pasai. Maka pada hari yang baik, berlayarlah segala angkatan itu ke negeri Pasai. Setelah sampai tentera Majapahit pun naik ke darat negeri Pasai dan mendirikan kota disepanjang pantai. Tulus Agung Tukang Sukara pun masuk mengadap Sultan Ahmad untuk memberitahu tentang kedatangan tentera Majapahit itu. Sultan Ahmad dengan sukacita menerima berita itu. Kemudian, kedua-dua pihak pun berperang sesama sendiri dan banyak tentera yang cedera. Begitulah, keadaannya selama tiga bulan kerana Majapahit turut mendapat bantuan dari tenaga asing. Tatkala dilihat Senapati akan hal perang yang tiada kesudahannya, dia pun menjadi marah dan dia sendiri telah naik ke darat bersama dengan tenteranya untuk berperang. Majapahit turut dibantu beberapa negeri lain. Mereka pun berperang selama tiga hari tiga malam tanpa henti dan banyaklah juga orang yang mati.
        Setelah itu, maka dipersembahkan orang kepada Sultan Ahmad, ‘Ya tuanku Syah Alam, bahawa segala hulubalang dan segala pahlawan dan segala rakyat kita banyaklah mati tiada terhisabkan lagi banyaknya.’ Maka sabda Sultan, ‘Wah anakku Beraim Bapa, jikalau ada ia, jika Jawa se-Jawanya, jika Cina se-Cinanya, jika Keling se-Kelingnya tiada mau melawan Si Beraim Bapa.’ Hal ini menunjukkan bahawa baginda telah menyesal atas tindakan baginda membunuh Tun Beraim Bapa kerana kuasa yang dimiliki oleh Tun Beraim Bapa semestinya dapat menolong Pasai semasa Pasai diserang. Akhirnya, Sultan Ahmad pun keluarlah dari istana dan pergi ke Menduga untuk mencari tempat perlindungan di sana. Setelah Sultan Ahmad keluar dari istana dan seluruh rakyat Pasai berpecah-belah, tentera Majapahit pun mara ke kota Pasai dan seterusnya menawan istana Pasai. Maka, negeri Pasai pun jatuhlah ke bawah pemerintahan kerajaan Majapahit.
6.0              Kesimpulan
Karya kesusasteraan Melayu ‘Hikayat Raja Pasai’ ini merupakan sebuah karya klasik yang kaya dengan pelbagai unsur sejarah yang boleh dijadikan tauladan untuk kehidupan masyarakat masa kini. Walaupun, jalan penceritaannya banyak berkisar kepada kehidupan golongan raja atau sultan. Namun, masih terdapat pengajaran yang boleh diambil dan dijadikan tauladan dalam kehidupan kita. Antara pengajaran positif yang terdapat dalam hikayat ini ialah sikap gigih dan kebijaksanaan manusia dalam membina sesebuah empayar atau negeri seperti yang dilakukan oleh Sultan Malikul Saleh. Selain itu, kesedaran sultan menerima agama suci Islam telah mengubah bukan sahaja cara hidup baginda tetapi juga seluruh masyarakat di dalam negerinya.
Di samping itu, terdapat juga pelbagai pengajaran negatif yang perlu kita hindari. Antaranya ialah kita haruslah berfikir dahulu kesan yang bakal diterima daripada sesuatu tindakan kita. Contohnya, tindakan Merah Gajah yang mencabut rambut emas Puteri Betung menyebabkan Puteri Betung ghaib yang seterusnya membawa kepada pembunuhan kedua-dua ayahanda mereka, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Hal ini turut terjadi kepada Sultan Ahmad. Oleh sebab sikap cemburu baginda kepada anaknya sendiri, baginda telah bertindak membunuh dua orang puteranya, iaitu Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Kesan daripada tindakan baginda ini telah menyebabkan negeri Pasai ditawan oleh Majapahit kerana tidak berpuas hati terhadap kematian puteri mereka. Selain itu, sikap mengikut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh Sultan Ahmad yang suka kepada anaknya sendiri merupakan sesuatu perkara keji yang ditegah di dalam agama.
Seterusnya, melalui kajian terhadap karya ‘Hikayat Raja Pasai’ ini kita dapat mengetahui segala tempat dan juga peristiwa yang berlaku secara terperinci. Antara tempat-tempat penting dalam karya ini ialah Samudera, iaitu sebuah negeri yang terletak berhampiran Lho’ Seumawe di pantai timur Sumatera Utara dan merupakan sebuah negeri yang menerima agama Islam. Selain itu, tempat yang pastinya penting ialah negeri Pasai itu sendiri. Sebuah negeri yang dibuka oleh Sultan Malikul Saleh untuk anaknya, iaitu Sultan Malikul Tahir yang menjadi antara tempat yang banyak dengan peristiwa sejarah di dalam karya ini. Kemudian negeri Pasai ini telah tewas dalam peperangan dan menyebabkan mereka menjadi negeri naungan Majapahit. Oleh sebab itu, sejarah yang terkandung dalam hikayat ini menjadi khazanah sastera negara yang amat berharga dan harus dipelajari. Secara keseluruhannya, segala peristiwa yang berlaku dalam hikayat ini juga diharap dapat dijadikan contoh iktibar tentang perkara baik dan buruknya.

Bibliografi

Abdul Halim Ali (2011). Pengantar teori & kritikan sastera: 
Barat dan Malaysia. Selangor: Persatuan Penulis Budiman Malaysia.

A. Samad Ahmad (2006). Sulalatus salatin sejarah Melayu. 

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Ahmad (2004). Siri karya sastera klasik untuk remaja: 
Hikayat raja Pasai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Russell Jones (1987). Hikayat raja Pasai. Shah Alam: Penerbit 

Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Russell Jones (1997). Siri warisan klasik: Hikayat raja Pasai. 

Shah Alam: Penerbit FajarBakti Sdn. Bhd.

Aweacheh blogspot (2010). Diperoleh pada Oktober 1, 2011 
daripada http://www. Aweacheh.blogspot.com/2010/05/sejarah-
kerajaan-samudera-pasai-html

Mengerjakantugas blogspot (2009). Diperoleh pada Oktober 1, 

2011 daripada http://www.mengerjakantugas.blogspot.com/2009/06/
hikayat-raja-raja-pasai-07-html

Munadiclick (2011). Diperoleh pada Oktober 10, 

2011 daripada http://www.munadiclick. com/aceh
-corner/aceh-1872/kesultanan-samudera-pasai

Riwayat blogspot (2008). Diperoleh pada Oktober 10, 2011 

daripada http://www.rm-riwayat.Blogspot.com/2008/08/
hikayat-raja-pasai.html

Samudera Pasai, Khilafah Islam Nusantara (2009). Diperoleh pada 

Oktober 8, 2011 daripada http://tonyoke.wordpress.com/category/
dunia-islam/samudera-pasai-khilafah-islam-nusantara/


No comments:

Post a Comment