Untai Kata


counter

Monday, 21 April 2014

Mitos dalam Sulalatus Salatin


1.0  CIRI-CIRI MITOS
Mitos mempunyai perbezaan dengan legenda. Terdapat beberapa ciri yang dapat dikenal pasti yang menunjukkan cerita tersebut adalah bersifat mitos. Antaranya ialah, cerita mitos dianggap sebagai cerita rekaan tetapi masyarakat tradisional mempercayai yang cerita mitos itu benar-benar berlaku. Cerita mitos dari segi isi dan tema, adalah dihubungkan dengan asal usul bermulanya sesuatu kejadian, benda, binatang, manusia, asal usul nama tempat, asal usul keturunan raja dan lain-lain lagi. Setiap asal usul itu dikaitkan dengan pelbagai peristiwa dengan keadaan yang luar biasa tetapi dipercayai benar-benar berlaku.
            Cerita mitos juga dikatakan sebagai sebuah naratif tradisional atau cerita lama yang diperturunkan sejak zaman dahulu. Contohnya cerita dongeng, cerita binatang, lawak jenaka dan lain-lain. Struktur cerita mitos kebiasaannya berkaitan dengan pegangan dan kebudayaan.  Menurut Hashim Awang (1985), ciri-ciri cerita mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia atau makhluk atau peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima oleh akal manusia. 
Bagi masyarakat Melayu tradisional, cerita mitos adalah suci dan mulia serta berlawanan kepada sifat duniawi.Cerita mitos adalah cerita tentang dewa-dewi dari kayangan dan dipercayai ada kaitan dengan unsur keagamaan, bersifat suci dan kudus.Banyak pantang larang dikenakan dalam hal mematuhi cerita mitos.  Masyarakat percaya bahawa mitos  ini benar-benar berlaku dan menjadikannya sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersenda-sendakan.  Tambahan lagi, mereka menganggap masyarakat yang tidak mempercayai dan melanggar pantang larang akan menerima balasan dan mala petaka. Namun begitu, sesiapa yang percaya dengan mitos dan mematuhi pantang larang tersebut akan mendapat kebaikan dan kurniaan. 
Latar masa bagi cerita mitos adalah pada zaman pra-sejarah iaitu zaman “animisme”.Semua masyarakat Melayu lama percaya pada kepercayaan animisme.Hal ini demikian kerana, masyarakat pada zaman dahulu masih terpengaruh dengan agama Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang memeluk Islam dan agama Islam sudah tersebar.
Latar tempat cerita mitos merangkumi segenap penjuru alam sama ada di dunia luar, di dunia kayangan atau di dasar.  Latar tempat sejarah juga terdapat dalam cerita mitos.Misalnya, mitos asal usul negeri Melaka sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat sejarah.Latar tempat di dasar laut pula melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu iaitu seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain iaitu Raja Suran yang memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama Dika.Beliau berkahwin dan mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu.Anak-anak bagindalah kemudiannya menjadi raja Palembang, Singapura dan akhirnya menjadi raja negeri Melaka.
Selain itu, mitos juga dapat dikenal pasti mengenai mitos tentang makhluk dengan tuhan atau nabi.Sebagai contoh, dalam teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menceritakan tentang Merah Silu yang bermimpikan Rasulullah.Di dalam mimpi tersebut Rasulullah menyuruh Merah Silu mengangakan mulutnya lalu Baginda meludah ke dalamnya.Apabila Merah Silu terjaga dari tidur, dia mendapati bahawa dia telah pandai membaca al-Quran.Selain itu, dapat dilihat kisah perkahwinan anak Raja Kida Hindi, iaitu Puteri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar yang berwalikan Nabi Khidir.  Sebelum Puteri Syahrul Bariyah dikahwinkan dengan Raja Iskandar, Raja Kida Hindi menyuruh Perdana Menteri bertanyakan Nabi Khidir tentang gerangan yang akan dijodohkan dengan puterinya.
Tambahan lagi, mitos yang mengaitkan dengan nabi dapat dilihat berdasarkan kisah kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar, iaitu Sultan Muhammad Syah yang telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang diimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.
Watak- watak dalam cerita mitos pula terdiri daripada Tuhan dan dewa-dewi sebagai watak-watak bukan manusia.Dalam cerita mitos juga terdapat watak manusia dan binatang.Beberapa contoh dapat dilihat di dalam teks Sejarah Melayu. Umpamanya nama samudera-pasai berasal daripada semut besar. Nama ini diperoleh daripada peristiwa seekor anjing bernama Si Pasai yang menyalak bukit kerana nampak semut sebesar kucing.Selain itu, pembukaan nageri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing.Sempena dengan peristiwa yang luar biasa ini maka Sultan Malikul Salleh membuka sebuah negeri baru yang dinamakannya Samudera-Pasai.Melalui mitos nama tempat ini, watak-watak yang terlibat melibatkan watak manusia dan bukan manusia iaitu watak Malikul Salleh, anjing dan semut besar.

2.0 UNSUR MITOS DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU
Mitos, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta, kelihatan pelik, janggal dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketidakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks sulalatus salatin sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut.Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.

3.0 JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam sulalatus salatin sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:-
1.      Mitos asal usul raja
2.      Mitos pembukaan negeri
3.      Mitos kedatangan Islam
4.      Mitos-mitos lain
Mitos asal usul raja
Sulalatus salatin sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain, Nabi Sulaiman dan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran iaitu cucu Raja Sulan telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan puteri Mahtabu’l-Bahri dari negeri Dika.Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga orang putera iaitu Nila pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama.Ketiga- tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang.Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka menjadi raja, Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau, Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura, Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana.Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.
Mitos pembukaan negeri
Sulalatus salatin sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah;-
Ø  Pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “singa”.
Ø  Pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing.
Ø  Pembukaan samudera yang dikaitkan dengan peristiwa merah silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing.
Ø  Pembukaan pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing sultan Malikus-Salleh yang bernama si pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.
Mitos kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam sulalatus salatin sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:-
Ø  Kedatangan Islam di samudera yang dikaitkan dengan peristiwa merah silu bermimpi bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w. dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s.a.w. telah meludah ke dalam mulut merah silu dan sebagai hasilnya. Merah silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu.
Ø  Kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (sultan Muhammad syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang diimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.
Mitos-mitos lain
Dalam teks sulalatus salatin sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsurmitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus.Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik secara halus.Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut.
Ø  Peristiwa badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu- badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
Ø  Peristiwa ikan todak menyerang Singapura- peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh paduka seri maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, paduka seri maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. Serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan tuan jana khatib yang “ mahir akan ilmu khayal lillah lagi tanam dua belas”.
Ø  Peristiwa sang Rajuna Tapa menjadi batu- peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.

Rujukan
A Samad Ahmad (Ed). (2006).  Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu.  
Kuala Lumpur : Dewan      Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh (1997). Kesusasteraan Melayu Abad 
Kesembilan Belas.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 


No comments:

Post a Comment