Untai Kata


counter

Saturday, 19 April 2014

Penggunaan Kata Partikel dalam Sulalatus Salatin

Penggunaan Kata Partikel dalam Karya Sulalatus Salatin
Wan Su Aida binti Wan Mohamad
Universiti Pendidikan Sultan Idris
sue_eda91@yahoo.com

ABSTRAK
            Kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat dan menganalisis penggunaan kata partikel bahasa Melayu dalam karya agung, iaitu Sulalatus Salatin.  Kata partikel juga merupakan komponen dalam kata penegas.  Penggunaan kata partikel sangat meluas digunakan dalam karya kesusasteraan klasik ini serta hikayat-hikayat lain.  Antara aspek yang dikaji ialah jenis-jenis kata partikel, kedudukan kata partikel dalam ayat, serta tahap penggunaan kata partikel dalam ayat pada masa kini.  Kajian hanya dilakukan meliputi sebahagian bab daripada karya Sulalatus Salatin. Kajian mengenai penggunaan kata partikel dalam karya ini sangat menarik dan dapat dilihat perbezaan penggunaan kata partikel dalam penulisan pada masa ini dan juga pada zaman tradisional. 

1.0 PENGENALAN
Tatabahasa merupakan aspek yang sangat penting dalam bidang penulisan.  Tatabahasa merupakan bidang yang mengkaji proses perkataan dan proses pembinaan ayat dan sering berkaitan dengan rumus-rumus bahasa.  Kata partikel pula merupakan golongan kata penegas.  Penggunaan kata partikel adalah penting dalam menghasilkan ayat serta penulisan yang baik.  Kata partikel merupakan partikel kata yang membentuk kata penegas.  Masyarakat tradisional menghasilkan karya tanpa terikat dengan rumus-rumus tatabahasa.  Oleh sebab itulah, keadaan ayat kebiasaanya panjang-panjang, struktur ayat adalah songsang dan pasif serta penggunaan kata partikel yang sangat meluas dalam penulisan.  Dapat dilihat bahawa kajian terhadap kata partikel dalam karya agung adalah terbatas.  Sehubungan dengan itu, kajian dilakukan untuk melihat sejauh manakah penggunaan kata penegas atau kata partikel dalam karya Sulalatus Salatin.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kata partikel merupakan aspek yang sangat penting dalam menghasilkan penulisan yang baik.  Sehubungan dengan itu, pengkaji akan menetapkan beberapa obejktif yang ingin dicapai melalui analisis yang dijalankan berdasarkan karya Sulalatus Salatin.  Antara objektif kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk :
2.1 mengenal pasti jenis-jenis kata partikel yang digunakan dalam karya Sulalatus Salatin
2.2 mengetahui kedudukan kata partikel dalam binaan ayat yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin
2.3 menganalisis penggunaan kata partikel dalam bidang penulisan pada masa ini

3.0 PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan objektif dan matlamat kajian terhadap kata partikel dalam karya Sulalatus Salatin, kajian ini akan menjawab beberapa persoalan seperti yang berikut :
3.1 Apakah jenis-jenis kata partikel yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin?
3.2 Di manakah kedudukan kata partikel dalam binaan ayat yang sering digunakan dalam karya Sulalatus Salatin?
3.3 Sejauhmanakah kekerapan penggunaan kata partikel dalam bidang penulisan pada masa ini?

4.0 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian mengenai kata penegas ini sangat penting dalam menganalisis makna penggunaan dalam ayat.  Hal ini demikian kerana, kata penegas atau kata partikel ini boleh mengubah makna sesuatu ayat.  Tambahan lagi, analisis dijalankan bagi melihat kekerapan penggunaan kata partikel yang digunakan dalam karya.  Hal ini mampu memberi gambaran perbezaan penggunaan kata partikel dalam bidang penulisan pada zaman tradisional dengan zaman ini.  Kajian yang dijalankan juga adalah bertujuan untuk menyingkap penggunaan kata partikel dalam penulisan karya agung Melayu.  Sehubungan dengan itu, diharapkan hasil daripada kajian ini mampu memberi manfaat kepada pembaca.  Kajian yang dijalankan ini cuba menganalisis kekerapan penggunaan kata penegas dalam karya serta makna penggunaan kata penegas yang dibawa dalam ayat.  Oleh itu, diharapkan agar kajian ini mampu membantu diri pengkaji serta masyarakat lain mengenai ilmu kata penegas yang digunakan dalam ayat.  

5.0 METODOLOGI KAJIAN
Dalam metodologi kajian ini, pengkaji akan menghuraikan kaedah yang digunakan dalam menjalankan kajian ini.  Kaedah penyelidikan merujuk kepada bagaimana kita mendapatkan maklumat bagi mencapai sesuatu matlamat penyelidikan pendidikan (Mohd Majid Konting, 1990).  Metodologi kajian merupakan proses yang penting untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan penyelidikan yang dijalankan.  Setiap maklumat yang diperoleh akan dikumpulkan dan dibuat analisis. 
Bagi memenuhi objektif dan matlamat kajian, pengkaji melakukan metodologi kajian melalui dua kaedah iaitu kaedah di perpustakaan dan juga menganalisis karya Sulalatus Salatin.  Pengkaji menganalisis data yang diperoleh melalui pembacaan dan penelitian ayat yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin.  Ayat-ayat yang mengandungi kata partikel akan mendapat penekanan dan tumpuan daripada pengkaji.
 
6.0 DAPATAN KAJIAN
6.1 Konsep bagi Kata Partikel Menurut Tokoh
Kata partikel merupakan golongan kata yang seerti dengan kata penegas (Nik Safiah Karim et. al, 2008).  Kata partikel atau kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penjelasan dan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Menurut Tatabahasa Dewan (2008), kata penegas terbahagi kepada dua iaitu yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya, contohnya, -kah, -lah, -tah serta kata penegas yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagiaannya.  Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang
Menurut Darwis Harahap (1994), kata penegas ialah kata tugas yang menerangkan penegasan pada kata nama.  Hashim Hj.Musa (1993) pula menyatakan bahawa kata penegas ialah unsur yang wujud dalam frasa nama (subjek) ataupun frasa predikat.  Kata partikel ini adalah untuk memberi penegasan kepada unsur yang bersangkutan.  Kata partikel juga dilihat dari segi penulisannya, iaitu semua partikel mestilah ditulis secara bersambung dengan kata dasar yang mendahuluinya (Lutfi Abas, 1971).  Ahmad Khair et. al (2012), dalam buku mereka Tatabahasa Asas menyatakan bahawa kata partikel juga dikenali sebagai kata partikel atau kata penyerta.  Kata ini memainkan peranan sebagai penegas atau penekan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat dan terbahagi kepada dua iaitu menegaskan subjek atau predikat dan berfungsi untuk menegaskan perkataan yang bercantum dengannya.  Sebagai contoh :
i)                    Menegaskan subjek atau predikat.
Kata penegas jenis ini hanya digunakan untuk menegaskan subjek atau predikat sahaja.  contoh kata penegas ialah juga, jua, pun, hanya, sahaja, lagi, memang, cuma, pula dan saja. 
1.      Yang tidak perlu pun dibelinya juga.
2.      Saya juga akan pergi.
3.      Apa-apa pun yang dimakannya, badannya tetap kurus. 
ii)                  Menegaskan perkataan yang bercantum dengannya
Kata partikel yang digunakan ini berupakan bentuk pascafrasa.  Ia hadir apabila frasa predikat mengalami proses pendepanan.  Kata partikelnya ialah terdiri daripada partikel -lah, -tah dan –kah.  Sebagai contoh:
1.      Ambillah mana-mana yang kamu berkenan.
2.      Daya kita apatah.
3.      Rumah idamanku itulah.
Selain itu, terdapat beberapa orang tokoh bahasa yang telah menghuraikan secara terperinci mengenai kata partikel atau kata penegas ini.  Mereka menghuraikan kata partikel ini mengikut pendapat masing-masing.  Terdapat perbezaan yang dapat dilihat berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh bahasa tersebut.  Antaranya ialah perbezaan dari sudut pengkelasan dan juga kategori kata penegas.  Sepertimana Asmah Haji Omar yang mengkelaskan kata partikel sebagai supraayat. 
Asmah Haji Omar (2009) dalam buku Nahu Melayu Mutakhir menghuraikan kata partikel sebagai supraayat.  Beliau mendefinisikan kata supraayat sebagai kata yang penggunaannya hanya jelas dalam hubungan antara ayat.  Beliau juga hanya memberi penekanan kepada beberapa kata sahaja, iaitu pun, juga, jua, pula dan sahaja
Asmah Haji Omar membahagikan kata penegas pun kepada beberapa jenis, iaitu persamaan, waktu, tolak ansur, tokokan, dan kepastian.  Setiap partikel pun yang digunakan dalam ayat membawa makna yang berbeza mengikut konteks ayat.  Sebagaimana partikel pun, kata partikel juga boleh membawa makna yang berbagai berdasarkan penggunaannya dalam ayat. Namun demikian, partikel pun, juga, jua, pula dan sahaja ini dikatakan sebagai supraayat dalam bahasa Melayu. 
Kata partikel dalam bahasa Melayu menurut Asmah Haji Omar (2009) ialah –lah, -tah, dan –kah.  Ketiga-tiga kata partikel ini tergolong dalam golongan kata partikel penegas.  Selain itu, menurut beliau kata penegas berkait rapat dengan makna yang didukung dalam sesuatu ayat.  Contohnya penegasan yang dibawa oleh pun berkait rapat dengan makna yang dibawa olennya dalam penggunaan ayat.  ‘Pun’ tidak terhad penggunaannya dalam ayat yang mempunyai suasana tertentu, tetapi menunjukkan kaitan antara ayat dengan mendukung konsep-konsep tertentu seperti konsep’persamaan’, ‘waktu’, ‘tolak ansur’, ‘tokokan’ dan ‘kepastian’.

i)                    Kata partikel –lah
Partikel lah merupakan penegas pada ayat berita dan ayat perintah.  Perkara yang ditegaskan dalam ayat berita ialah judul ayat, baik subjek, objek ataupun adverba. Subjek atau objek yang ditegaskan dalam laj diikuti oleh klausa relatif yang ditandai dengan penghubung yang, dengan syarat ayat induk terdiri daripada pola Subjek-predikat nama.  Penggunaan partikel lah dalam ayat perintah pula ialah ayat yang kebanyakannya mengandungi ciri-ciri perintah, iaitu ayat suruhan, ayat silaan, ayat permintaan, ayat ajakan, ayat larangan dan ayat harapan.  Sebagai contoh :
1.      Dialah yang menguruskan perkara tersebut sehingga selesai.
2.      Anak tunggalnyalah yang mewarisi harta pusakanya itu.
3.      Ambillah buku itu.
4.      Janganlah mengganggi saya. 

ii)                  Kata partikel –kah
Partikel kah terkandung dalam ayat tanya dan ayat seru.  Dalam ayat tanya, tempat kah terletak pada bahagian-bahagian yang ingin ditegaskan.  Penegasan pada judul ayat tanya  merupakan penegasan pada kata tanya merupakan ganti nama tanya, adevrba tanya atau kata benda.  Contohnya :
1.      Siapakah orang yang datang itu?
2.      Apakah yang diperdebatkan mereka itu?
3.      Sibukkah tuan sekarang?
Ayat seru yang menggunakan partikel kah hanyalah ayat seru yang menggunakan kata seru alangkah.  Contohnya:
1.      Alangkah gagahnya lelaki itu!
2.      Alangkah rajinnya budak itu!

iii)                Kata partikel –tah
Kekerapan penggunaan partikel –tah dalam penulisan bahasa Melayu pada masa ini agak kurang dan sukar ditemui.  Kebanyakan partikel –tah terkandung dalam bahasa Melayu tradisional.  Partikel ini berfungsi sebagai penegas pertanyaan dan penegas seru.  Contohnya :
1.      Apatah lagi yang ditunggunya? (penegas pertanyaan)
2.      Apatah dayaku!                           (penegas saruan)

Menurut Muhammed Salehudin Aman (2010), kata penegas atau kata partikel terbahagi kepada empat bahagian.  Antaranya ialah kata penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan kata pascafrasa.  Kata penegas berada dalam kelompok kata prafrasa dan kata pascafrasa.  Kata penegas ini merupakan perkataan yang memberikan penegasan pada bahagian tertentu dalam ayat sama ada pada bahagian subjek atau bahagian pradiket. 

Jika dilihat fungsi kata partikel dalam ayat, kata penegas dapat dibahagikan kepada dua iaitu menegaskan frasa predikat atau bahagian frasa prediket dan yang kedua ialah kata penegas yang bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat, sama ada subjek atau predikat.  Partikel –kah, -lah, dan -tah merupakan kata kecil dan tidak mempunyai makna yang sempurna dan lengkap.  Namun demikian. kata partikel kecil ini mampu menghasilkan makna apabila ia bergabung dengan kata lain.   
    
Menurut Ahmad Khair Mohd Noor et.al  (2012), dalam Tatabahasa Asas,  kata penegas yang juga dikenali sebagai kata partikel atau kata penyerta ini berfungsi untuk memberikan penegasan atau penekanan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat                                                    
Kata partikel menurut Nik Safiah Karim et. al (2008) adalah bersamaan dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ahmad Khair Mohd Noor et al.  namun begitu, beliau membuat perincian bahawa kata partikel –kah, -tah dan –lah hanya hadir dan berfungsi sebagai kata penegas apabila frasa predikat atau bahagian-bahagian yang ditegaskan itu mengalami proses pendepanan seperti contoh ayat yang berikut:
1.      Siapakah majikan kamu?
*Majikan kamu siapakah?
            2.   Pernahkan dia datang?
                  * Dia datang pernahkah?
            3.   Apatah daya kita.
                  * Daya kita apatah.

            6.2 Analisis Karya Agung Sulalatus Salatin Mengenai Kata Partikel
       6.2.1 Jenis-jenis kata partikel dalam karya Sulalatus Salatin
       Penerangan yang dibuat adalah berdasarkan analisis data yang diperoleh daripada pembacaan dan penelitian ayat dalam karya.  Analisis yang dijalankan adalah bagi menjawab persoalan yang diketengahkan dalam persoalan kajian.  Daripada dapatan kajian yang dijalankan, pengkaji dapat mengenal pasti beberapa jenis kata partikel yang kerap kali digunakan dalam karya agung Sulalatus Salatin.  Penggunaan kata partikel dalam ayat adalah sangat ketara digunakan oleh penulis sepanjang penulisan karya.  Kata partikel seperti -lah, -pun, -jua dan -tah sangat banyak dijumpai.  
       Contohnya:
1.      Dan Dialah Tuhan yang abadi, lagi sentiasa adaNya,
2.      Dan tiada suatu jua pun kemudian.
3.      Adalah dalamnya hikmatNya, maka jadilah ia akan KhalifahNya di Bumi.
4.      Wa ba’adahu adapun kemudian dari itu telah berkata fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya.
5.      Setelah fakir allazi murakkabun ‘ala jahlihi (mendengar titah Yang Maha Mulia itu)*** maka fakir terkejutlah dari fakir pada mengusahakan dia. 
6.      Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. 
7.      Maka pada malam itu naik mempelailah Raja Iskandar.
8.      Maka Seri Teri Buana terlalu sukacita serta baginda mengerahkan segala orang akan menyeberang.  Maka sekaliannya berhadirlah, setelah waktu dinihari lepas nobat, maka nafiri berangkat pun berbunyilah, hingga penuhlah rupa lautan itu dengan perahu, menuju Temasik.
9.      Syahadan datanglah ke Teluk Belang, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi, lalu akan tenggelam.  Maka titah baginda, “Apa yang ada lagi di dalam perahu ini, maka tiada ia mahu timbul ini?”
10.  Maka titah baginda,”Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamnya, dan sebutlah Temasek ini Singapura.  Sampailah sekarang disebut orang Singapura.
11.  Aria Bupala pun naik mengadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana.  Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap.  Setelah mustaed, maka  Wan SeriBeni pun pergilah ke Singapura. 
12.  Alkisah maka tersebutlah perkataan raja di benua Keling, Adi Rama Raja Maulaliar namanya, asal daripada anak cucu Raja Suran.
13.  Setelah selesailah daripada pekerjaan itu maka Andul Nina Mara Kulina dan segala hulubalang Keling pun bermohonlah kembali. 
Berdasarkan kata partikel yang terkandung dalam ayat di atas yang diambil daripada karya Sulalatus Salatin, dapat dilihat bahawa kebanyakan perkataan yang ditulis mengandungi kata partikel.    Partikel –lah merupakan kata partikel yang paling banyak digunakan berbanding partikel-partikel lain.  Tambahan lagi, kata partikel pun juga merupakan partikel yang banyak diguna pakai selain daripada partikel –lah.  Hal ini demikian kerana, penulis karya Melayu tradisional kebanyakannya menggunakan ayat pasif dan ayat songsang.  Kata partikel yang digunakan juga tidak terlalu memberikan gambaran penegasan. 

6.2.2 Kedudukan kata Partikel dalam karya Sulalatus Salatin
Hasil dapatan seterusnya adalah berdasarkan analisis penggunaan kata partikel dalam karya Sulalatus Salatin.  Kata partikel ini dikaji penggunaannya dalam  ayat.  Dalam karya ini, pengkaji telah menganalisis kata partikel daripada empat aspek yang terpenting dalam pembinaan ayat bahasa Melayu.  Antaranya ialah penggunaan kata partikel selepas kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. 
Penggunaan kata partikel dalam karya Melayu Sulalatus Salatin kebanyakannya hadir selepas kata kerja.  Sebagai contoh :
1.      Setelah datanglah kepada peredaran dunia, maka Paduka Seri Pikrama Wira pun mangkatlah, maka anakanda baginda, Raja Muda, kerajaan menggantikan kerajaan ayahanda baginda di atas kerajaan itu, bergelar Rakna Wikrama.
2.      Maka kata hantu itu,”Baiklah, jikalau hendakkan gagah seperti maksud itu makanlah muntahku.  Maka kata Badang, “Baiklah, muntahlah engakau supaya aku makan.”
3.      Berapa lamanya di laut datanglah ke Singapura, maka dipersembahkan orang kepada Seri Rakna Wikrama.
4.      Setelah itu baginda pun berangkatlah masuk, dan segala yang menghadap masing-masing kembalilah ke rumahnya. 
5.      Maka Tun Perpatih Pandak pun bermohonlah kembali.  Maka Tun Perpatih Pandak dipersalin baginda, maka surat pun diaraklah orang ke perahu, maka Tun Perpatih Pandak pun belayarlah kembali ke Perlak. 
6.      Maka fakir itu pun turunlah ke kapal, lalu belayar berbalik pula, maka jatuh ke negeri Perlak, maka sekalian mereka itu pun diislamkannya.  Maka kapal itu pun belayarlah ke Semundra. 
7.      Maka Awi Dicu dengan segala hulubalang Syahru’n Nuwi.  Maka raja Syahru’n Nuwi pun terlalu sukacitanya.  Awi Dicu dengan segala yang pergi itu semuanya dipersalini oleh raja Syahru’n Nuwi.  Adapun akan raja Pasai itu disuruhnya mengembala ayam.
8.      Maka Sidi Ali Ghiathu’d Din pun naiklah ke darat menghadap raja Syahru’n Nuwi, segala lasykarnya semuanya memakai pakaian Arab, membawa persembahan diperbuatnya sepohon kayu emas dan buahnya daripada sekalian permata. 
Namun begitu, kata partikel yang digunakan dalam karya Sulalatus Salatin  tidak mengandungi kata partikel yang lain.  Jenis kata penegas yang kedua, iaitu hanya, memang , juga, pun, jua dan lagi bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat, sama ada dalam subjek atau predikat.  Dalam kata penegas yang kedua, hanya kata partikel pun dan jua yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin.  Walaupun begitu, partikel pun lebih banyak digunakan berbanding partikel jua
1.      Maka Sultan Maliku’l Mansur pun menanamkan mayat Sidi Asma Yaumi’d Din dengan kepalanya dipandang Maya itulah.  Setelah sudah maka baginda pun pergilah ke Manjung.
2.      Telah sudah sembahyang, maka baginda pun berbaring-baring di sisi kubur Sidi Asma Yaumi’d Din, lalu baginda putus nyawa.
3.      Maka Sultan Ahmad pun menangis mendengar wasiat ayahanda baginda itu. Telah beberapa hari antaranya maka Sultan Maliku’t Tahir pun mangkatlah
Jika diteliti dalam penulisan karya Melayu Sulalatus Salatin ini, penulis menggunakan partikel pun berkedudukan sebelum kata kerja.  Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan dan konstruksi frasa kerja.   Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai dan disisipkan dengan beberapa unsur lain seperti kata bantu, objek, pelengkap, ayat komplemen dan keterangan.  Ianya berbeza dengan partikel –lah yang hadir selepas kata kerja.  Contoh kedudukan kata partikel pun dalam ayat yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin :
1.      Maka dayang-dayang pun pergi memberitahu Bendahara.  Maka Bendahara pun segera datang.
2.      Maka dibentangkan tikar barang di mana dikehendaki raja, supaya kemudian pun disanalah ia duduk. 
3.      Setelah datang ke Tanjung Jambu Air, maka angin  pun turunlah terlalu kencang, maka kapal baginda Mani Purindan pun tenggelam. 

Kata partikel yang hadir sebelum kata nama juga terkandung dalam penulisan Sulalatus Salatin.  Ianya dapat dilihat menerusi ayat yang berikut:
1.      Setelah hari pun asarlah, maka datanglah sebuah kapal dari Jeddah, serta ia datang berlabuhlah. 
2.      Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang yang bergelar juga.
3.      Telah sudah ciri iu dibaca, maka dibawa orang keluar,  adapun yang menyambut ciri itu daripada kaum keluarga orang bergelar itu juga. 
4.      Dan jika persalin utusan, demikian juga adatnya, masing-masing pada patutnya. 
5.      Demikianlah istiadat pada zaman Melaka, banyak lagi lain dari itu, jikalau dikatakan semuanya nescaya bimbang hati orang yang mendengar dia. 
Kata partikel ini juga hadir selepas penggunaan kata nama dalam karya Sulalatus Salatin.  Sebagai contoh:
1.      Beranak pula seorang lelaki bernama Raja Kassim.  Kemudian beranak seorang lelaki bernama Raja Ibrahim. Maka, dialah dirajakan baginda menurutkan kehendak Raja Perempuan, akan tetapi Sultan Muhammad Syah kasih juga akan anakanda baginda Raja Kassim. 
2.      Maka negeri Melaka seperti terhukumlah oleh Raja Dekan.  Maka baginda diam pada si pengail, sentiasa mengail ke laut.
3.      Maka sahut Bendahara, “Apatah daya kita! Kerana Raja Rekan tidak pernah bercerai dengan Duli Yang Dipertuan.”
4.      Maka kata Seri Nara Diraja, “Mudah juga pekerjaan itu pada hamba,marikita pergi pada Bendahara.”
5.      Maka Bendahara pun segera keluar, berkeris pun tiada, berdestar pun di jalan. 
6.      Maka dalam pun alahlah. Akan Raja Rekan tiada bercerai dengan Sultan Abu Syahid. 
Berdasarkan dapatan hasil kajian di atas, pengkaji dapat menganalisis bahawa penggunaan kata partikel dalam karya Sulalatus Salatin amat terhad.  Penulis hanya penggunakan kata partikel –lah, -tah, pun, dan juga dalam ayat.  Namun sedemikian, partikel –lah dan pun sahaja yang banyak digunakan dalam karya sama ada hadir sebelum kata kerja, selepas kata kerja, hadir selepas kata nama dan sebagainya. 
6.2.3        Perbandingan kekerapan penggunaan kata partikel dalam karya tradisional, Sulalatus Salatin dengan penulisan karya moden
Karya Sulalatus Salatin banyak menggunakan kata partikel –lah dan pun dalam penulisan.  Namun begitu, partikel-partikel lain juga turut dimuatkan dalam penulisan karya seperti juga dan –tah tetapi kekerapan penggunaannya dalam penulisan adalah sangat sedikit berbanding dengan partikel –lah
Walaupun penggunaan kata partikel –lah sangat banyak diperoleh daripada karya Sulalatus Salatin, sebahagian daripada partikel tersebut tidak mendukung makna untuk menegaskan sesuatu perkara.  Hal ini demikian kerana, kata partikel tersebut hanya sekadar pelengkap ayat.  Tambahan lagi, karya yang berbentuk tradisional kebanyakannya menggunakan kata partikel –lah dan –tah walaupun unsur penegasan  tidak dilakukan.  Sebagai contoh :
1.      Raja Kassimlah yang menggantikan tempat kerajaan adinda baginda.
2.      Dan bagindalah menyuruhkan membuat kitab undang-undang sepaya jangan bersalahan lagi segala hukum menteri. 
3.      Tuanku, jika ada ampuni duli Yang Maha Mulia, Tun Peraklah patik sekalian pohonkan akan jadi penghulu patik sekalian.”
4.      Hatta maka orang Siam pun datanglah, lalu berperang dengan orang Melaka terlalu ramai.


Penggunaan kata partikel dalam karya moden jelas menunjukkan peranan yang dibawa iaitu sebagai penegas dalam ayat.  Walaupun penggunaan kata partikel dalam karya tradisional tidak membawa penegasan yang menekankan, namun unsur penegasan juga kadang-kala terkandung dalam ayat yang ditulis. 
Tambahan lagi, kata partikel yang digunakan dalam karya klasik sudah tidak digunakan dalam karya moden pada masa ini.  Hal ini demikian kerana, perkataan tersebut sudah mengalami perluasan dan ia digantikan dengan perkataan yang lain.  Sebagai contoh, partikel –tah sudah tidak digunakan dalam penulisan karya moden.  Kebanyakan penulisan moden menggantikan partikel tersebut dengan –lah.  Walaupun begitu, makna yang didukung oleh kedua-dua partikel tersebut adalah sama.  Kata partikel juga boleh membawa unsur perintah seperti dalam ayat:
1.      Adalah yang disuruhkan pergi utusan itu, Seri Bija Pikrama dengan Tun Sura Diraja. 
2.      Sampailah Seri Bija Pikrama dan Tun Sura dengan kadar segera.
Kata partikel yang digunakan dalam karya Sulalatus Salatin kadang-kala merupakan ayat penyata walaupun partikel –lah dan pun terkandung dalam patah perkataan.  Sebagai contoh,
1.      Adapun apabila raja dihadap orang di balairung,maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung dan segala menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai.
2.      Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya.  Melainkan puan dan  pedang dikelek-kelekkan kiri dan kanan, pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu. 
3.      Sahaya semua pun tahu juga,oleh tuanku tiada mengaku, sahaya semua pun takutlah mengatakan anak tunku. 
Jika dibandingkan dengan karya moden, unsur partikel tersebut akan  dimansuhkan kerana ia tidak membawa unsur penegas dalam ayat.  Selain itu, partikel juga boleh berfungsi sebagai ayat tanya.  Sebagai contoh :
1.      “Maukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam?” maka sembah Seri Nara Diraja, “Mohon tuanku.
2.      Maukah akan Seri Nara Diraja akan Tun Kudu?” Maka sembah Seri Nara Diraja, “Daulat tuanku.”
3.      “Budak-budak bagaimana itu? Anak orang baikkah? Atau sebarang orangkah?
Penggunaan partikel –kah dalam ayat ini mengambarkan penegasan dalam pertanyaan.  Ianya masih digunakan pada masa ini dalam penulisan karya moden.   Kata partikel ini walaupun kebanyakannya berfungsi sebagai ayat tanya, namun ia membawa unsur penegasan dalam ayat.   
Selain itu, pengkaji dapat menganalisis bahawa penggunaan kata partikel dalam ayat yang terkandung dalam karya Melayu tradisional, iaitu Sulalatus Salatin ini lebih banyak digunakan berbanding ayat yang digunakan dalam karya moden.  Kata partikel yang terdapat dalam satu ayat melebihi unsur penegasan yang ingin disampaikan.  Sebagai contoh :
1.      Setelah itu, maka kedua utusan itu pun bermohonlah, lalu turunlah. Maka surat dan bingkisan pun diarak oranglah dengan selengkap alatnya, dengan segala bunyi-bunyian.
2.      Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ia ke benua Siam.  Maka diwartakan oranglah kepada Paduka Bubunnya.
3.      Perahu ayah hamba, raja Tanjung Pura, tiadalah terbela lagi, lalulah rosak, ayah bonda hamba tiada sempat naik ke sampan, sekaliannya habislah berenang mengusir perahu yang lain, entah betapa gerangan halnya hamba tiada tahu. 
Berdasarkan ayat di atas, dapat dilihat bahawa ayat yang terkandung dalam karya Melayu tradisional lebih mengutamakan penggunaan kata partikel dalam penulisan.  Terkandung beberapa kata partikel dalam sebuah ayat yang dinyatakan.  Hal ini sangat berbeza dengan karya moden yang tidak terlalu mementingkan penggunaan kata partikel dalam penulisan bahasa Melayu. 
Secara keseluruhannya, penggunaan kata partikel –lah dan pun dalam karya Sulalatus Salatin digunakan secara meluas.  Jika diteliti dan dianalisis secara lebih mendalam, kedudukan kata partikel dalam ayat adalah pelbagai iaitu sama ada sebelum kata nama, selepas kata nama, selepas kata kerja, dan juga kata tugas. 

7.0 KESIMPULAN
Secara rumusnya, kajian ini merupakan usaha yang dilakukan untuk melihat penggunaan kata partikel bahasa Melayu dari sudut jenis-jenis kata penegas dalam, kedudukan kata penegas dalam ayat serta penggunaannya dalam penulisan karya. 
Tambahan lagi, berdasarkan kajian terhadap karya Sulalatus Salatin, pengkaji mendapati bahawa kata partikel yang menjadi tumpuan penulis ialah partikel –lah dan pun.  Namun begitu, partikel-partikel lain juga ada diselitkan dalam membuat penegasan dalam ayat. 


Rujukan
A.Samad Ahmad (1997).  Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu.  
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa     dan Pustaka.

Ahmad Khair Mohd Noor (2012).  Tatabahasa Asas.  Selangor: 
Persatuan Pendidikan Bahasa    Melayu Malaysia.

Asmah Haji Omar (2009).  Nahu Melayu mutakhir; Edisi kelima.  
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harahap (1991).  Persoalan Bahasa.  Kuala Lumpur: Dewan 
Bahasa dan Pustaka.

Hashim Hj Musa (1993).  Binaan dan Fungsi Perkataan dalam 
Bahasa Malaysia. Kuala   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lutfi Abas (1988).  Nahu Penambah Bahasa Melayu. Petaling Jaya:
Fajar Bakti Sdn. Bhd

Nik Safiah Karim et.al (2008).  Tatabahasa Dewan; Edisi ketiga.  
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

Post a Comment