Manuskrip Melayu merupakan lambang kesarjanaan
para cendekiawan Melayu dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip
dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai
sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang
seterusnya. Antara bidang penulisan
manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah seperti bidang keagamaan yang
terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasawuf, akhlak dan sejarah manakala dalam
bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan.
Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan
yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan ialah Jawi. Tulisan Jawi ialah
tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi
sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu. Serba sedikit
sejarah mengenai manuskrip ialah dipercayai dihasilkan
seawal-awal lingkungan abad ke 15 dan berakhir pada abad ke Sembilan belas.
Manuskrip Melayu merupakan penyimpanan atau peninggalan budaya melayu pada
masa lampau dimana dapat dilihat melalui kandungan dan bahasa. Sehubungan
dengan itu manuskrip boleh dikaji dari banyak segi:
bahasa, budaya, falsafah, ugama, perubatan, sains dan teknologi, selain sejarah
dan sastera yang sering dilakukan selama ini.
Manuskrip ini lahir dalam
masyarakat tradisional yang kehidupan mereka banyak dipengaruhi oleh sistem
kepercayaan, yang meyakini adanya Tuhan yang menentukan nasib manusia sebelum
ianya berlaku. Faktor-faktor inilah yang sebenarnya telah menyebabkan wujudnya
ilmu nujum. Oleh yang demikian apa yang akan berlaku kepada seseorang dapat
diramalkan. Ramalan ini dapat diketahui berdasarkan pelbagai hal seperti
bintang, fizikal, tarikh lahir yang di dalamnya mengandung rahasia tentang masa
depan.
Nujum dalam kebudayaan Melayu selalu dikaitkan
dengan ramalan mengenai nasib manusia yang dipengaruhi oleh alam sekitarnya
sehingga lebih mendekati makna astrologi. Ianya mengandungi pengetahuan
mengenai ilmu kutika atau ketika, nujum, raksi, firasat, takbir, dan
katuranggan. Ilmu kutika atau ketika adalah ilmu untuk mencari waktu yang baik
dalam melakukan suatu upacara, membuat peralatan, memulai pekerjaan bercocok
tanam dan pekerjaan lain yang penting dalam kehidupan sehari-hari.
2.0 APA ITU
ILMU NUJUM ?
Ilmu
Nujum merupakan ilmu untuk meramal sesuatu. Ilmu Nujum berhubung
kait dengan Ilmu Bintang atau Astrologi.
Dalam bahasa Greek (Yunani)
astrologi berasal dari kata astro (bintang) + logos
(dunia, pengkajian). Etimologi ini membayangkan bahawa astrologi bermaksud
pengkajian tentang ilmu perbintangan atau lebih jelas lagi
astrologi merupakan satu sistem ramalan yang berasaskan kepercayaan
bahawa planet-planet yang ada di langit mempengaruhi
perwatakan dan kehidupan seseorang .
Sehubungan itu, dalam konteks ini, segala
sesuatu yang berlaku kepada seseorang dikatakan bermula dengan horoskop atau
falakiahnya iaitu gambaran peta langit semasa orang tersebut dilahirkan. Dengan
itu,daripada simbol zodiak yang ada, seseorang itu boleh dihalang atau
mengetahui apakah aspek penting untuk dirinya. Ini
menjadikan kedudukan ahli nujum amat
penting dalam masyarakat. Di India misalnya, seseorang raja yang tidak
mempunyai ahli nujum diibaratkan sebagai kanak-kanak yang tidak berbapa
Dalam masyarakat Melayu pengertian ilmu nujum mungkin
tidak benar-benar menepati maksud astrologi yang telah disebutkan tadi kerana
ia lebih kepada penujuman yang berkaitan dengan manusia berdasarkan abjad
nama orang yang terlibat, waktu dalam sehari, nama hari dan bulan serta ta‟bir mimpi, meramal hujan
dalam semusim dan
lain-lain. Sehubungan itu boleh dikatakan tidak ada
tokoh terkenal seperti yang disebutkan di atas, namun begitu tidak bererti
masyarakat Melayu ketandusan pengetahuan dalam bidang tersebut. Harun Mat
Piah(2005: vii-viii) menegaskan bahawa
masyarakat Melayu menguasai ilmu tentang alam dalam makna, ilmu bintang,
falak atau astrologi sejak zaman
prasejarah lagi.
Sebagai bangsa pelayaran, mereka menggunakan pengetahuan ilmu
bumi, tentang musim, angin, ribut, hujan dan lain-lain untuk berwaspada dan bersedia menghadapi apa jua
keadaan yang mungkin berlaku. Penguasaan orang Melayu dalam ilmu astrolog yangditegaskan
oleh Harun Mat Piah itu jelas tergambar dalam banyak manuskrip seperti
yang saya telah teliti ke atas 177 manuskrip di beberapa
perpustakaan terkenal termasuk Perpustakaan Universiti Leiden, Perpustakaan SOAS, Perpustakaan Royal
Asiatic Society,Perpustakaan Nasionl Indonesia dan Perpustakaan Negara
Malaysia.
3.0 JENIS ILMU NUJUM MASYARAKAT MELAYU
Seperti
mana masyarakat-masyarakat lain di dunia, masyarakat Melayu dahulu kala juga
mempunyai ilmu nujum dan kitab ramalannya yang tersendiri. Antara kitab ramalan
yang terkenal di alam Melayu ialah Kitab Bintang 12. Terdapat beberapa jenis
ilmu nujum dalam masyarakat Melayu dan adakalanya ilmu-ilmu ini saling
berkaitan dan adakalanya seakan-akan berada dalam satu bidang yang sama. Secara
umumnya, ilmu nujum dalam masyarakat Melayu dapat dibahagikan kepada:
1. Ilmu
bintang (kitab 12)
2. Ramalan
watak dan nasib berdasarkan bintang
3. Takbir
Mimpi
4. Alamat
pergerakan Badan
5. Alamat
binatang, binatang peliharaan dan binatang masuk rumah atau kebun.
6. Petua
dan Azimat
7. Ilmu
Firasat
8. Ilmu
Raksi
9. Rejang
atau Ketika
3.1 ILMU BINTANG
Sepertimana
masyarakat dan tamadun-tamadun terkenal yang lain, masyarakat Melayu juga tidak
ketinggalan turut mempunyai dan mengamalkan ilmu penujuman bintang. Ilmu bintang
dalam masyarakat Melayu adalah bersumberkan kitab Kitab Abi Maa’shar Al Falaki
atau lebih dikenali dengan nama Kitab Bintang 12.
Isi Kitab Abi Maa’shar Al Falaki atau Kitab Bintang
12 dapat dibahagikan kepada enam bahagian iaitu ramalan tentang apa yang akan
berlaku pada tahun tersebut, ramalan tentang saat yang baik dan nahas untuk
melakukan sesuatu, ramalan untuk menentukan siapa yang kalah dan siapa yang
menang, ramalan untuk menentukan jantina anak dalam kandungan samaada lelaki
atau perempuan, ramalan untuk melihat watak dan meramal yang akan berlaku kepada
seseorang orang lelaki dan ramalan untuk melihat watak dan meramal yang akan
berlaku kepada seseorang perempuan.
3.1.1 Ilmu-ilmu/perngiraan dalam Kitab Bintang 12
Secara
khususnya pula, antara isi kitab ini ialah ramalan mengenai apa yang bakal
terjadi pada sesuatu tahun itu. Untuk melihat atau meramalnya, seseorang ahli
nujum itu perlulah melakukan perkiraan-perkiraan tertentu.
Misalnya ada satu contoh pengiraan dalam kitab yang
mengambil kira hari ketujuh minggu pertama sesuatu tahun itu. Dikatakan jika
hari ke tujuh ini jatuh pada hari Ahad, maka tahun itu dikuasai oleh bintang
Syamsi dan pada tahun itu diramalkan berlaku banyak penyakit mata dan akan
berlaku banyak kesusahan bagi perempuan yang hamil. Pada Tahun itu juga akan
berlaku banyak peperangan, berlaku gerhana bulan sedikit dan sukar untuk pergi
menunaikan haji, tetapi bagi sesiapa yang mengerjakan pergi haji, akan pulang
dengan selamat. Berkenaan dengan sumber makanan, pada tahun ini buah-buahan,
sarang lebah, dan susu akan bertambah, tetapi akan menyebar pula penyakit
gatal.
Jika hari ketujuh minggu pertama sesuatu tahun itu
jatuh pada hari Isnin pula, tahun itu akan dikuasai oleh bintang Qamar dimana banyak
buah-buahan terhasil dan akan terjadi peperangan besar. Di tanah Hijaz akan bertumbuh
banyak pohon kurma, dan akan ada banyak perempuan yang hamil. Tahun ini juga
cuacanya panas kuat dan sejuknya juga kuat. Banyak orang yang mengidap penyakit
terutamanya di bahagian dada dan akan berlaku banyak juga kematian pada tahun
tersebut.
Jika jatuh pada hari Selasa pula, tahun itu akan dikuasai
oleh Marikh, dimana tahun tersebut akan aman sejahtera. Orang ramai yang sihat
sihat dan hanya ada sedikit kesusahan, tetapi akhirnya banyak kesenangan dan
buah-buahan juga sangat menjadi. Sedikit kekurangan gandum dan syir akan
berlaku kerana adas banyak dalam negeri. Kematian pula akan banyak terjadi pada
kanak-kanak dan orang yang sudah tua sahaja.
Jika jatuh hari Rabu pula, tahun tersebut dikuasai
oleh Utarik. Dalam tahun tersebut akan berlaku banyak penyakit, banyak
pergaduhan, banyak kesusahan terutama bagi perempuan yang hamil dan orang-orang
besar juga banyak yang mati di dalam negeri tersebut. Pada akhir tahunnya pula
negeri akan didatangi angin besar selama beberapa hari.
Jika jatuh pada hari Khamis pula tahun tersebut dikuasai
Musytari. Tahun itu hanya turun sedikit hujan dan hasil buah-buahan pula berkurang.
Makanan akan menjadi mahal, walaubagaimanpun hasil tanaman padi dan gandum yang
ditanam di tempat-tempat yang tinggi pada akhir tahun lebih baik daripada
kebiasaanya. Diramalkan akan berlaku juga gerhana yang dapat dilihat di
beberapa bahagian dalam negeri.
Jika masuk hari Jumaat, tahun tersebut akan di
kuasai bintang Zuhrah. Angin kuat melanda dan hujan juga akan turun dengan
banyaknya, sesuatu yang baik untuk tumbunhan dan binatang. Tahun ini akan banyak
pencuri dan akan banyak kesusahan bagi perempuan yang hamil. Di akhir tahun
pula kesenangan akan datang sehingga perempuan menjadi gemuk. Di Mekah akan
muncul seorang pemimpin yang berasal dari Syam dan menetap ia di Madinah.
Akhir sekali, jika hari ketujuh minggu pertama itu
jatuh pada Sabtu pula, tahun tersebut akan di kuasai oleh bintang Zuhal. Tahun
ini tidak begitu sesuai bagi binatang dan banyak ternakan yang akan mati.
Berlaku banyak peperangan dan menularnya penyakit cacar pada tahun ini. Banyak
burung-burung muncul dan menyebabkan buah-buah kurma rosak binasa. Sebaliknya,
buah anggur pula akan menjadi, harga kambing dan minyak sapi pula ada negeri
yang harganya mahal dan ada juga negeri yang mana harganya murah. Diramalkan banyak
perempuan hamil yang akan mengalami keguguran dan kadar perceraian juga
meningkat. Orang-orang tua yang pertengahan umurnya dan perempuan akan banyak
yang mati. Banyak penyakit seperti demam dan wabak akan melanda, dan gerhana
bulan dan matahari akan terjadi. Dari segi hasil pertanian, pada tahun ini
tanaman gandum atau padi akan menjadi.
Secara keseluruhannya, dari
pengiraan tahun berdasarkan bintang ini kita dapat melihat yang ramalannya
adalah berkisar mengenai beberapa perkara seperti kesihatan, keamanan, hasil
tanaman, kematian, saat seusai dan tidak sesuai untuk melakukan sesuatu
pekerjaan, keadaan politik, hasil pertanian, harga barang dan cuaca. Selain saat yang baik dan saat yang tidak
baik berbuat sesuatu yang dinyatakan secara umum, terdapat juga beberapa
perkara yang disebutkan secara khusus. Perkara-perkara yang disebutkan tersebut
ialah saat untuk belayar, meminang, menulis azimat, menjatuhkan talak,
menghadap raja, mengeluarkan darah atau berbekam dan menggali perigi.
3.1.2 Penggunaan/ penyebaran ilmu kitab 12 dalam
masyarakat Melayu
Walaupun kitab bintang dua belas ini adalah
merupakan teks terjemahan sahaja, tetapi sebelum ini sebenarnya dalam Melayu
itu sendiri sudah pun tertanam dengan sistem kepercayaan yang meyakini
kemampuan dan kesaktian orang-orang tertentu yang mengetahui nasib manusia lain
di masa hadapan. Mereka ini disebut sebagai ahli nujum.
Definisi dan pengertian ahli nujum itu sendiri
adalah orang yang pandai meramalkan sesuatu dengan melihat bintang. Para ahli nujum ini dipercayai dapat
berhubungan dengan kuasa gahib dan mengetahui rahsia tentang nasib manusia.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kitab Bintang 12 ini diterima oleh
orang Melayu sebagai kitab nujum. Bahkan mereka juga sangat mempercayainya. Ini
dapat dibuktikan dengan terdapatnya terjemahan kitab ini yang menyebar secara
meluas di alam Melayu.
Ketika menjelaskan tentang Ilmu Bintang Melayu,
Harun Mat Piah et.al (2000) menjelaskan
bahawa ilmu astroogi atau horoscop dihubungkan dengan ilmu nujum, ramal,
takbir, raksi dan sebagainya. Ilmu ini dapat dibahagi kepada beberapa kelompok:
1.Kutika
atau ketika: Iaitu ilmu mencari waktu yang baik dalam melakukan sesuatu
upacara,
membuat peralatan, bercucuk tanam, perlakuan, dll.
membuat peralatan, bercucuk tanam, perlakuan, dll.
2.
Nujum, ramalan dan rejang: Iaitu cara untuk mengetahui apa yang telah dan akan
dilakukan berdasarkan bilangan hari dan bulan dalam seminggu, sebulan dan setahun.
3.
Raksi atau kias: iaitu meramalkan keserasian pasangan yang akan berkahwin; juga
keserasian hari dan waktu akan menjalankan sesuatu pekerjaan.
4.
Ilmu firasat: Mengetahui perangai seseorang berdasarkan bentuk tubuh,
tanda-tanda pada badan, wajah malah bau peluh.
5.
Takbir, khususnya takbir mimpi: iaitu bentuk ramalan dengan mentafsir mimipi
menurut waktu, hari dan sebagainya.
6.
Katuranggan, padah, atau mimpi; iaitu meramalkan baik atau jahat sesuatu
binatang berdasarkan tanda pada tubuh dan gerak geri; juga padah dan alamat
terhadap binatang-binatang yang memasuki rumah.
Ilmu ini menjadi suatu budaya Melayu yang wujud
sejak lama. Dalam cerita-cerita penglipurlara dan cerita-cerita rakyat sering
disebutkan tentang adanya seorang ahli nujum yang meramalkan nasib dan masa
depan putera raja yang baru lahir. Kadang-kadang ini ahli nujum juga dapat dan
ditugaskan untuk meramalkan nasib yang akan menimpa negara. Bahkan kedudukan
seorang ahli nujum ini dilihat setaraf dengan menteri kanan yang dekat dengan
raja. Raja akan segera meminta bantuannya untuk menentukan apa yang akan
berlaku kepada negara pada masa akan datang, dan ramalan tersebut sangat
dipercayai oleh raja. Teks-teks cerita penglipurlara juga sering menceritakan
tentang ketepatan ramalan ahli nujum ini.
Dalam kitab-kitab sastera sejarah, tertulis banyak
kisah-kisah tentang ketepatan ramalan ahli nujum. Misalnya dalam Hikayat Jambi,
di mana Tun Telanai telah dibuang oleh ayahndanya sendiri kerana dia telah
diramalkan akan membunuh ayahndanya bila dia sudah dewasa kelak. Apa yang
menarik, walaupun sudah dibuang ramalan itu akhirnya tetap menjadi nyata. Dalam
cerita-cerita klasik Melayu juga ada yang berkaitan dengan watak ahli nujum
ini, contohnya cerita ‘Nujum Pak Belalang’ arahan dan lakonan seniman agung
P.Ramlee.
Dalam cerita penglipurlara juga sering disebutkan
bahawa ahli nujum membuat ramalan dengan membuka kitab atau pustakanya. Ini
menunjukkan bahawa kitab ramalan memang menjadi pegangan ahli nujum. Ianya
seakan-akan sebuah kitab sakti yang dipelihara dengan begitu baik sekali dan
ahli nujum ini akan sentiasa menyemak kitab tersebut semasa atau sebelum
membuat sesuatu ramalan dan setiap ramalan akan dibuat berdasarkan kitab nujum
tersebut. Kitab Bintang 12 ini mungkin adalah merupakan salah satu daripada
kitab sering yang dipakai oleh ahli nujum dalam masyarakat Melayu dahulukala
dalam membuat sesuatu ramalan.
Walaupun kitab 12 ini adalah merupakan terjemahan
dari kitab bahasa Arab, tetapi ianya cukup popular di alam Melayu. Ini menunjukkan bahawa kitab ini mempunyai
pengaruh dalam ilmu penujuman di dunia Melayu dan jelaslah ilmu nujum atau ilmu
penujuman dengan bintang ini memang wujud terdapat dalam masyarakat Melayu
sejak dahulukala lagi.
3.2 WATAK DAN RAMALAN NASIB MANUSIA
BERDASARKAN BINTANG
Kita
sering melihat dan mendengar mengenail ramalan horoskop atau yang sangat
popular dalam kalangan masyarakat barat. Zodiak dibuat berdasarkan ilmu
astrologi atau ilmu perbintangan. Sepertimana ramalan zodiak. dalam kitab
Bintang 12 ini juga terdapat ilmu untuk meramal watak dan nasib manusia
berdasarkan jenis bintang yang diwakilinya.
Jika dalam ramalan
horoskop ada watak yang diambil kira mengikut bulan kelahiran iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius, dan Pisces begitu juga dengan Kitab 12. Terdapat juga watak
bintang yang digunakan untuk ramalan terhadap watak dan nasib manusia
berdasarkan bintangnya. Ada dua belas bintang yang dikira berdasarkan bulan.
Berdasarkan bintang inilah dibezakan nasib manusia. Bintang-bintang tersebut
ialah Hamal, Tsur, Jauza, Sirton, Asad,
Sanabila, Mizan, Akrob, Kaus, Jadyun, Dali dan Hut.
Berdasarkan bintang dan watak ini seseorang akan
dapat diramal nasib dan perwatakknya. Misalnya mereka yang dilahir pada bintang
Hamal, jika seseorang lelaki itu berkulit hitam manis, tinggi dan besar
kepalanya dia akan bersifat pemarah tetapi cepat baik. Dia juga selalu
berpindah dari suatu tempat ke tempat lain. Sifatnya juga suka berkata-kata
dengan benar dan benci kepada pembohongan. Kadang-kadang dia miskin,
kadang-kadang dia kaya. Lelaki yang dilahirkan pada bintang Tsur pula, jika
dahinya luas, agak putih kulitnya dan besar kepalanya. Mukanya pula agak hitam,
bahunya bidang, pinggangnya ramping, dan kecil dua tapak kakinya. Ia
mununjukkan sifat lelaki tersebut gemar berjimak dengan perempuan, suka
bersolek dan melapangkan hati. Ia tidak beruntung atau mempunyai nasib yang
baik dalam bersahabat. Selain itu, terdapat banyak lagi ramalan watak berdasarkan
bintang ini dalam kitab 12 yang sememangnya menarik jika dikaji.
Natijahnya disini, tamadun islam dan masyarakat
Melayu sendiri sebenarnya mempunyai ramalan watak berdasarkan bintang yang
tersendiri dan boleh dikaji dan dipegang ramalannya berbeza dengan ramalan
berdasarkan zodiak yang dipercayai oleh sesetengah orang ianya dapat
memesongkan akidah umat islam. Walaubagaimanapun, untuk melakukan perkiraaan
ilmu dalam kitab Bintang 12 ini, seseorang itu mestilah merujuk kepada ahlinya
ataupun mereka yang pakar serta mahir tentang selok beloknya.
3.3 TAKBIR MIMPI
Menurut
buku Warisan Manuskrip Melayu (2002:
194) ilmu ramalan yang popular ialah takbir mimpi, iaitu suatu cara
mentafsirkan baik dan buruknya sesuatu mimpi. Mimpi yang dilalui oleh setiap
manusia diberi tafsiran sama ada membawa kebaikan atau padah kepada seseorang
atau ahli keluarganya. Mimpi yang berkisar pada pelbagai perkara yang amat luas,
diberikan tafsiran yang menarik dan cukup pelbagai.
Dalam masyarakat Melayu, kebanyakan manuskrip membahagikan mimpi kepada tiga,
iaitu mimpi yang dari setan (syaitan), mimpi yang dari gangguan emosi dan mimpi
yang benar dari malaikat. Mimpi yang dari emosi, biasanya dari periswa yang
berlaku dalam kehidupan kita, kemudian menjelma menjadi mimpi ketika tidur.
Mimpi yang dari Malaikat ialah mimpi yang benar. Ianya terjadi sering terjadi terutamanya kepada orang-orang
yang soleh. Tetapi ada jga terjadi kepada orang biasa. Antara cirri-cirinya
ialah, mimpi terusebut jelas dan terang. Jika tidak dihiraukan ia akan berulang
beberapa kali. Masa bermimpi juga sering terjadi pada 2/3 malam. Biasanya jika
ada seseorang bermimpi, dia akan memaklumkan kepada seseorang yang diyakininya
mempunyai kemampuan untuk menafsirkan mimpi untuk mengetahui apakah maksud
mimpi yang telah dialaminya itu.
Kesan dan kewujudan ilmu
takbir mimpi dalam masyarakat Melayu boleh dilihat melalui kewujudan cerita
mengenainya dalam cerita-cerita penglipurlara Melayu. Antaranya terdapat kisah
tentang mimpi seorang anak raja yang akhirnya membawa kepada pengembaraan anak
raja tersebut jauh untuk mencari yang terjelma dalam mimpinya. Seterusnya mimpi
tersebut menentukan perjalanan hidup wira. Misalnya dalam Hikayat Malim Deman,
diceritakan tentang anak raja Muar yang bernama Tuanku Malim Deman telah
bermimpi bertemu dengan seorang wanita dari kayangan, seterus melalui mimpi
tersebut terus Malim Deman meramal perjalanan hidupnya.
Setelah kedatangan Islam,
ramalan masa depan berdasarkan mimpi tidak pudar, malah dihubungkan dengan
kisah, ada juga mimpi Nabi Yusuf yang diceritakan dalam Al Quran. Jadi Islam
tidak menolak mimpi sebagai cara untuk meramal masa hadapan. Kemudian ilmu
menafsir mimpi terus disebarluaskan dalam masyarakat melalui
manuskrip-manuskrip dan kitab-kitab takbir mimpi yang banyak dijumpai di alam
Melayu.
Dalam manuskrip-manuskrip
historiografi Melayu juga banyak menceritakan tentang hubungan mimpi dengan
ramalan-ramalan terhadap pelbagai peristiwa yang akan berlaku. Misalnya dalam
Hikayat Raja-raja Pasai diceritakan tentang mimpi Sultan Malikul Salleh bahawa
siang hari nanti akan ada kapal yang datang di pelabuahan. Orang tersebut
sembahyang dan mimpinya menyuruh supaya ikutilah orang tersebut sembahyang. Malam
tersebut sultan Muhamad juga bermimpi Nabi Muhamad S.A.W telah meludahi mulut
Sultan Muhamad, bila terbangun Sultan Muhamad mendapati kemaluannya sudah
disunat. Siangnya baginda terus-menerus mengucapkan kalimah sahadah yang
diajarkan kepadanya melalui mimpi.
Terdapat juga hadis dan ayat Al-Quran juga banyak keterangan yang menyebutkan
bahawa mimpi para Nabi dan orang soleh itu benar. Antara lain disebutkan dalam
Surah al-Isra’ ayat 60, yang berbunyi:
“bahawa mimpi Rasulullah s.a.w menjadi fitnah atau ujian bagi manusia”.
Selain itu juga terdapat
banyak mimpi-mimpi Rasulullah yang langsung datang dari Allah. Kemudian mimpi
tersebut dijelaskan dengan bahasa Rasulullah, yang dikenal sebagai hadis kudsi.
Mimpi yang benar ini terbahagi kepada lima iaitu: 1). Ilham yang diresapkan
oleh Allah kepada hambanya 2). Mimpi yang dirancang oleh malaikat 3). Pertemuan
ruh antara orang hidup dengan yang telah meninggal dunia 4). Pertemuan ruh
orang yang sedang tidur dengan Allah 5). Kemasukan ruh ke dalam syurga dan
menyaksikan teman-temannya.
Manakala mimpi yang tidak
benar pula dapat dibahagi kepada dua, iaitu mimpi yang datang dari gangguan
setan dan jin jahat. Atau juga mimpi yang datang dari kekusutan fikiran atau
jelmaan perasaan, fikiran dan perbuatan kita sehari-hari. Bagi orang
Melayu mimpi dapat juga dibahagi kepada dua, iaitu mimpi benar yang datangnya
dari kuasa ghaib (Tuhan atau malaikat). Kedua mimpi yang tidak benar yang
datangnya dari gangguan terhadap fikiran atau perasaan.
Mimpi yang benar ini
memainkan peranan penting bagi orang Melayu untuk meramal apa akan terjadi pada
masa akan datang. Ianya sejenis ilmu nujum, oleh yang demikian orang yang
pandai menafsirkan mimpi selalunya ada disetiap kampung. Di dalam istana juga
selalu ada seorang yang pandai menafsirkan mimpi yang akan ditugaskan untuk
menafsirkan mimpi-mimpi raja. Raja pula biasanya sangat percaya dengan
mimpi-mimpinya termasuk dalam urusan negara. Mimpi benar ini banyak digambarkan
dalam pelbagai cerita penglipur lara, mitos asal usul, hikayat-hikayat,
cerita-cerita rakyat dan sebagainya.
Kerana mimpi dianggap
sesuatu yang penting dalam budaya Melayu, maka orang Melayu juga turut menulis
kitab-kitab tafsir mimpi. Terdapat sekurang-kurangnya empat manuskrip tafsir
mimpi yang dapat dikesan. Kitab-kitab tersebut ialah:
1. Kitab tafsir mimpi yang berjudul Tafsir Mimpi yang tersimpan di perpustakaan, Universiti Leiden dengan nomor (cod Or. 6672). Kitab ini terdiri daripada empat puluh bab menyatakan teks itu meliputi 40 bab.
2. Selain teks Cod Or 6672 yang pengarangnya
mengatakan diterjemahkan ke dalam bahasa dari kitab Dar al-Manzum fi’l Syara’
al-Azam, terdapat sebuah naskah tersimpan di Leiden iaitu Cod. Or. 1695 yang
berjudul Tafsir Mimpi juga.
3. Sebuah lagi kitab Tafsir mimpi ialah HS 604 yang
tersimpan di Perpustakaan KITLV. Teks ini kemudiannya dijadikan latihan ilmiah
oleh Surianiah bt Pakih Akademi Islam 1993 dengan judul, Manuskrip Tafsir
Mimpi: Analisis dan Tranliterasi Teks. Beliau mendasarkan kajiannya dari
salinan Microfiche 67 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya.
Kandungan manuskrip ini terbahagi kepada tiga; 1.Tafsir mimpi 2. Tafsir gerhana
matahari dan bulan 3. Tafsir lindu.
4. Satu lagi teks Tafsir Mimpi oleh Abu Bakar Deris,
Kedah. Ia dicetak oleh Sulaiman
Mari’e, Singapura, Pulau Pinang. Ia dibahagi dua; 1.Tafsir mimpi 2. Gerak badan
Mari’e, Singapura, Pulau Pinang. Ia dibahagi dua; 1.Tafsir mimpi 2. Gerak badan
3.3.1
Manuskrip Tafsir Mimpi
Antara contoh manuskrip tafsir mimpi ialah manuskrip
yang ditulis oleh Abu Bakar Deris dari Kedah. Kemudian dicetak batu oleh
Sulaiman Mari’e, Singapura, Pulau Pinang. Keseluruhan teks ini terdiri daripada
tujuh puluh lima halaman.
Isi manuskrip ini terdiri
daripada dua bahagian. Bahagian pertama tentang tafsir mimpi dan bahagian kedua
tentang alamat pergerakkan badan. Bahagian tafsir mimpi pula di bahagikan
kepada dua bahagian. Pertama tentang benda-benda di langit dan kedua tentang
manusia.
a.
Contoh
tafsir mimpi tentang benda-benda di langit
i.
Melihat
malaikat; Mendapat kemuliaan dan ketinggian serta ia berbuat amalan soleh.
Melihat aras dan kursi, masuk syurga atau melihat anak-anak bidadari; Sangat
baik. Jika berasal keturunan raja akan menjadi raja, jika asal menteri akan
menjadi menteri. Mendapat umur yang panjang dan mendapat kebahagiaan.
ii.
Bintang
jatuh keribaan; Mendapat kekayaannya atau mendapat anak yang soleh dan
cucu yang soleh.
iii.
Bermimpi
hujan lebat:Alamat murah makanan di dalam negeri itu lagi sentosanya.
iv.
Bermimpi
hujan atau ribut:Alamat musuhnya akan datang dari negeri asing atau raja-raja
di dalam negeri itu aniaya.
v.
Bermimpi
hujan banyak:Alamat mendapat harta yang halal tanpa bersusah payah
b.
Contoh
tafsir mimpi tentang manusia
i.
Mimpi
melihatnya, Rasulullah Salallhualaihi wassalam atau segala nabi dan itu:
Alamat masuk syurga:
Alamat masuk syurga:
Jika ia kapir akan masuk Islam
dan mendapat pahala dunia dan akhirat. rahmat.
ii.
Bermimpi
dirinya dipalu orang: Alamat diberi harta oleh orang asing yang tidak di
kenali.
iii.
Jika
bermimpi menangis: Alamat mendapat kebaikan lagi menggembirakan.
iv.
Jika
mimpi makan daging: Alamat mendapat kebajikan yang banyak, jika perempuan alamat
mendapat suami yang jahat.
v.
Jika
bermimpi berjalan ke pekan: Alamat beruntung, baik untuk memulai sesuatu kerja
yang besar seperti nikah kahwin, membuat rumah atau hendak memulai perniagaan
dan lain lain.
Jika dilihat dan
diperhatikan dari manuskrip ini, ternyata mimpi yang tidak baik belum tentu
membawa alamat yang tidak baik, terdapat banyak mimpi-mimpi yang tidak baik
tetapi membawa alamat baik. Misalnya jika bermimpi mati memberi alamat umur
akan panjang. Jika mimpi gila pula memberi alamat akan lepas daripada wabak
penyakit. Begitu juga mimpi yang baik belum tentu membawa alamat baik, misalnya
mimpi menjadi raja memberi alamat yang seseorang itu bakal medapat aniaya dari
orang dan banyak orang tidak setuju dengan kerjanya.
Secara keseluruhannya, takbir khususnya takbir mimpi
bolehlah dianggap sebagai suatu bentuk ramalan dengan menafsirkan mimpi
seseorang menurut waktu, hari, dan sebagainya. Berdasarkan bukti-bukti dan
keterangan yang diberikan di atas, jelaslah bahawa takbir mimpi ini adalah
merupakan suatu bidang yang sangat popular dalam masyarakat Melayu.
3.4 ALAMAT PERGERAKAN BADAN
Masyarakat Melayu juga mempercayai sesuatu ramalan
dengang melihat kepada tubuh badan, ciri fizikal dan alamat pergerakan badan
manusia. Seperti mana masyarakat-masyarakat lain seperti masyarakat Cina yang
popular dengan tilikan tapak tangan, masyarakat Melayu dulukala dan sehingga
kini juga masih mempercayai ramalan yang berpandukan tubuh badan. Sejauh mana kebenarannya
tidaklah diketahui. Tetapi yg pasti orang tua tua dahulu banyak meramalkan
sesuatu melalui pemerhatiannya dan melalui pengalaman pengalaman yang lalu.
Mungkin disebabkan byk kebetulan yg belaku menyebab kan mereka mempercayai
sesuatu alamat. Ia boleh dijadikan sebagai pengetahuan dan bukan utk dipercayai
seratus peratus.
Contohnya
ramalan berpandukan kedudukan tahi lalat. Watak atau kepribadian seseorang
dapat diketahui dari keberadaan tahi lalat yang berada di kulit/tubuh kita.
Bukan itu sahaja, bahkan watak atau keperibadiaan seseorang itu juga dapat
dilihat melalaui warna wajah, bentuk hidung, bentuk mata, bentuk bibir dan
sebagainya. Dalam manuskrip Melayu yang paling banyak terdapat dan popular ialah ramalan
berdasarkan alamat pergerakan badan manusia. Kebiasaannya antara pergerakan
tubuh badan yang banyak dikisahkan adalah mengenai dahi, mata, kening, hidung,
telinga, bibir mulut, siku, perut, jari, dan sebagainya.
3.4.1 Alamat pergerakan badan dalam manuskrip
Melayu
Antara
alamat pergerakan badan yang terdapat dalam manuskrip Melayu adalah seperti:
i.
Bergerak
di kening kiri alamat melihat kekasih.
ii.
Jika
bergerak di kening kanan, alamat beroleh arta (harta) .
iii.
Jika
bergerak di kelopak mata kanan alamat beroleh arta (harta)
iv.
Jika
bergerak di kelopak mata kiri alamat bertemu dengan kekasih.
v.
Jika
bergerak di kelopak mata kanan di bawah alamat menangis-menangis.
vi.
Jika
bergerak di kelopak mata sebelah kiri yang di bawah, alamat lepas pada
dukacita.
vii.
Jika
bergerak di ekor mata kanan lepas penyakit.
viii.
Jika
bergerak di ekor mata kiri alamat melihat.
ix.
Jika
bergerak di ekor mata kanan yang di bawah halamat (alamat) melihat kekasih.
x.
Jika
bergerak di ekor mata kiri alamat sakit.
3.5 BINATANG, BINATANG PELIHARAAN DAN BINATANG
MASUK RUMAH
Dalam
manuskrip Melayu juga terdapat ilmu nujum yang beralamatkan binatang, binatang
peliharaan dan binatang yang masuk ke dalam rumah. Antaranya ialah bab tentang
kucing bertuah dan kucing celaka dan petua alamat binatang naik kerumah atau
dusun.
3.5.1 Bab Kucing Bertuah dan Kucing Celaka
Bab ini menyatakan pasal pada peri kucing. Dalam
manuskrip ini, ianya memperihalkan berkenaan lima belas perkara yang menentukan
samaada kucing itu membawa tuah mahupun kecelakaan kepada kita. Timbulnya bab
kucing dalam manuskrip Melayu ini mungkin sekali kerana kucing ini adalah
merupakan haiwan peliharaan yang dekat dengan masyarakat Melayu yang beragama
islam amnya. Antara ciri-ciri kucing yang banyak ditimbulkan adalah berkenaan
dengan warnanya. Contohnya isi manuskrip bab kucing bertuah dan kucing celaka:
i.
Yang pertamanya yang
celaka kucing itu tubuhnya putih, maka kakinyapun putih, tangannya hitam, maka
kucing itulah hitam kita taruh duduk di rumah kita. Banyak kucing itu ia
memberi akan tuannya.
ii.
Dan keduanya ada kucing
itu tubuhnya hitam, maka kakinya putih ke empat potong, maka kucing itu maha
hitam . Cilakanya maka lihatpun tiada harus.
iii.
Ketiga perkaranya jika
ada kucing itu tubuhnya putih, mukanya hitam, ada berbulu putih dahinya lalu
sampai ke hidungnya, seri namanya, maha hitam , baik kita taruh rumah seperti
menaruh benda yang baik-baik.
iv.
Dan keempat perkara,
jika ada kucing itu putih ekornya, maka tubuhnya hitam bertompok putih, tiada
harus di taruh di rumah ia menjauhi rugi tuannya.
v.
Dan kelima perkara jika
ada kucing itu dadanya putih, bertambal
putih maha itam4 cilakanya
vi.
Dan keenam perkara,
jika ada kucing itu tubuhnya hitam, pipinya bertambal putih, itupun celakanya
kucing.
3.5.2 Petua Alamat Binatang Naik
Rumah dan Masuk Dusun
Dalab bab ini, manuskrip ini meramalmkan sesuatu
berdasarkan petua apabila binatang naik rumah dan masuk kedalam dusun kita.
Antara isinya :
i.
Jika
rama (rama-rama) hinggap di rumah kita, maka perlu beri sedekah dengan gading
gajah dan kain sehelai, emas seemas, kan beroleh kain padahannya. Jika tiada
ditunaikan, alamat akan kehilangan artanya (hartanya) atawa (atau) sakit
empunya rumahnya.
ii.
Jika
besok anak tenggiling masuk ke halaman atawa (atau) naik rumah kita, perlu beri
sedekah emas, kain sehelai, alamat beroleh hamba padahnya. Dan jika tiada
bersedekah alamat papa pada waktu mati empunya rumahnya.
iii.
Jika
kijang masuk dusun, maka bersedekah nasik kunyik, emas seemas, kain, sahaya,
alamat beroleh kasih orang banyak padahannya. Maka jika tiada bersedekah,
alamat mati isterinya serta hambanya.
iv.
Jika
rusa masuk dusun, maka bersedekah halia dan lada dan taruh bikar dan taruh
kancing dan emas dua emas, kain sehelai, alamat beroleh bekerhai Allah boleh jadi penghulu. Maka jika tiada bersedekah
alamat isteri hilang
v.
Jika
anjing beranak di atas rumah, bersedekah dengan bubur masak, kain sehelai hijau
warnanya, emas tiga emas, alamat beroleh sukacita lagi akan kaya padahannya.
Jika tiada bersedekah anaknya terjual atau isteri lagi fitnah banyak padahannya.
vi.
Jika
babi masuk halaman atawa (atau) naik rumah, buat sarang di dalam padi kita di
bendang, maka di tolak bala dengan emping segantang, emas seemas, kain sehelai,
alamat beroleh hamba dan padi beras banyak padahannya. Jika tiada di tolak bala
karam11 empunya rumahnya atawa (atau) mati hambanya.
vii.
Jika
kucing beranak di atas kasur tempat tidur, atawa(atau) di atas riba kita, maka
bersedekah emas seemas, kain putih sehelai, maka buat aruah rasul, alamat anak
cucunya jadi pandita itu, atawa(atau)
beroleh kayaannya.
3.6
PETUA DAN AZIMAT
Bab petua dan azimat juga termasuk dalam bab ilmu
nujum dalam manuskrip Melayu. Menurut buku Warisan Manuskrip Melayu (2002: 196) Manuskrip petua dan azimat banyak
ditulis oleh masyarakat Melayu silam yang juga berkisar dalam kehidupan
seharian mereka. Pelbagai aspek kehidupan dari menamakan anak, bercucuk tanam,
binatang peliharaan, membina rumah, keharmonian rumah tangga dan banyak lagi
yang sedikit sebanyak mempengaruhi atau pun mengawal kehidupan mereka.
3.6.1
Azimat
Dalam
bab azimat, bukan semua azimat itu diciptakan untuk tujuan yang baik, malah
didapati ada juga azimat yang tidak baik seperti ilmu pengasih untuk memikat
wanita. Azimat ini jelas sekali boleh disalahgunakan untuk tujuan yang jahat. Azimat banyak mengguna atau merujuk kepada ayat
al-Quran da nada juga yang menggunakan isim-isim yang dipercayai membawa
perlindungan kepada seseorang atau memulihkan sesuatu keadaan. Cara azimat ini
diapalikasi berbeza-beza mengikut keadaan. Ianya boleh ditulis, direndam dan kemudian
diminum. Ada yang juga yang digantung di leher, diletakkan di atas dan bawah
rumah serta berbagai cara lagi.
Tujuan utama azimat boleh dibahagikan kepada:
i.
Keharmonian rumah
tangga
ii.
Tanaman
iii.
Keselamatan dll.
Terdapat juga berbagai jenis azimat lain seperti
azimat penerang hati, pelaris perniagaan, azimat untuk menghilangkan rasa
mengantuk, azimat untuk anak-anak yang selalu menagis dan tidak mahu minum
susu, danpemanis muka az dan banyak lagi azimat-azimat yang menyentuh segala
aspek dalam kehidupan.
3.6.1 Petua
Terdapat
banyak petua dalam masyarakat Melayu. Antaranya ialah petua berkenaan dengan
binatang peliharaan yang berkaitan dengan lembu, kucing, burung peliharaan sama
ada sesuai atau tidak untuk dipelihara.
Menurut buku Warisan Manuskrip Melayu (2002: 200)
untuk membina rumah, nenek moyang kita banyak merujuk kepada petua agar
rumah yang bakal dihuni itu membawa berkat dan kesejahteraan bagi keluarga
berkenaan. Wujudnya banyak manuskrip petua membina rumah membuktikan pentingnya
bahan ini. Manuskrip membina rumah memberi beberapa peraturan seperti memilih
tempat yang sesuai, amalan ketika mendirikan rumah, bulan-bulan yang sesuai
serta padah-padah yang bakal diterima jika rumah didirikan pada bulan-bulan
yang tidak sesuai.
Terdapat juga beberapa petua berhubung dengan
penanaman padi, menjaga padi dari penyakit, juga waktu mengambil beras untuk
dimasak. Walau apa sekalipun petua dan jika kedengaran pelik sekalipun,
petua-petua ini diciptakan berdasarkan pengalaman orang-orang tua dahulu yang
ada waktunya elok juga jika kita terima. Bak kata pepatah, ‘orang yang tua itu
terlebih dahulu makan garam’, jadi mungkin sekali mereka ini mempunyai dan
mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui.
3.7 ILMU FIRASAT
Ilmu
firasat adalah ilmu untuk mengetahui perilaku seseorang berdasarkan bentuk
tubuh, tanda-tanda pada tubuh, wajah, bahkan bau keringat seseorang. Menurut
buku Warisan Manuskrip Melayu (2002:
202), satu lagi ilmu tradisional yang amat menarik dan menakjubkan ialah
ilmu firasat. Ilmu ini menyatakan baik atau buruk perilaku seseorang melalui
tanda tahi lalat yang ada di tubuh manusia, bentuk tubuh badan, suara dan
tanda-tanda yang lain. Ilmu firasat ini sama dengan ilmu alamat pergerakan
badan.
3.8 ILMU RAKSI
3.8 ILMU RAKSI
Raksi
atau kias adalah ilmu untuk meramalkan keserasian pasangan yang akan menikah;
juga keserasian hari dan waktu untuk menjalankan suatu pekerjaan. Ilmu ini untuk mengetahui keadaan hubungan
suami isteri
berdasarkan abjad nama
masing-masing kerana setiap abjad itu mempunyai nilai tersendiri dan jumlah yang diperolehi dibuang sembilan-sembilan. Setiap baki
yang ada memberikan gambaran tertentu. Baki dilihat
secara berpasangan, contohnya satu sama satu,
satu sama dua, satu sama enam,dua sama dua,
dua sama tujuh,
dua sama sembilan
atau lapan sama
lima , lapan sama tiga , lapan sama
satu. Keterangan yang diberikan berdasarkan kias, jika satu sama satu mengambarkan pasangan itu sukacita, sebudi sebicara dan berkasih-kasihan . Mereka
beroleh harta . Jika tinggal
satu sama tiga, mereka berkelahi dan akhirnya bercerai. Jika tinggal tiga
sama tiga, pasangan itu tidak kekal dan mendatangkan kejahatan kepada mereka .
Jika tinggal empat sama lapan , menggambarkan pasangan itu sentiasa
berkasih-kasihan dan murah rezeki. Jika tinggal enam sama Sembilan , alamatnya baik tetapi pada akhirnya ada kejahatan . Terakhir, jika tinggal sembilan sama sembilan mencerminkan
pasangan itu sempurna lagi baik hati
kerana Allah menolong harta mereka tetapi dukacita hatinya dengan
anak, suami atau isteri.
3.9 REJANG DAN KETIKA
Dalam
buku Warisan Manuskrip Melayu (2002:
205) manuskrip dalam genre ini meramalkan sesuatu kebaikan atau
keburukan yang akan menimpa seseorang berdasarkan bintang, waktu, hari dan
bulan. Antara satu bab mengenai rejang menyebutkan :
Ini fasal pada
menyatakan bilangan rejang pertama sehari bulan itu rejang kuda adapun kepada
hari itu Allah Ta’ala menjadikan Adam alaihissalam barang kerja pun baik jika
kita hendak mengadap raja pun baik atau kita bertanaman atau kita membeli
berjual pun baik jikalau beranak baik budinya jadi penghulu dan jika sakit
lekas sembuh dan jikalau berlayar tidak baik. (Manuskrip
Ketika MSS 2344)
Secara
mudahnya, rejang bolehlah dikatakan sebagai ilmu yang merujuk kepada
binatang-binatang yang dihubungkan dengan ramalan terhadap suatu kejadian
KESIMPULAN
Bila kita memperkatakan tentang ilmu nujum atau
astrologi , timbul persoalan sejauh manakah
ahli nujum dapat membuat ramalan yang tepat
atau sejauh manakah ramalan itu boleh dipercayai? Apapun, ilmu nujum atau astrologi
dipraktikkan oleh hampir semua masyarakat besar dunia sejak zaman silam lagi hingga kini, termasuk dalam
meramalkan keadaan ekonomi dunia dan kedudukan pasaran saham. Dalam pada
itu saya ingin merujuk kepada tiga kes tentang ramalan ahli nujum
yang menjadi kenyataan.
Pertama, bagi masyarakat Hindu iaitu berdasarkan kisah dalam Hikayat Seri Rama
, versi Shellabear , Rawana yang memerintah Langkapuri
diramalkan bahawa suami kepada anaknya
Sita Dewi akan menjadi musuh dan mengalahkannya. Justeru , Rawana mengambil keputusan untuk
membunuh Sita Dewi sebaik sahaja dia dilahirkan supaya Sita tidak sempat
bersuami, namun hasrat Rawana dihalang oleh isterinya Mandudaki, jadi Sita cuma
dikeluarkan dari istana dan dihanyutkan ke dalam sungai lalu ditemui oleh
Maharisi Kala. Setelah besar Sita
dikahwinkan denga Seri Rama. Ternyata Seri Rama telah mengalahkan Rawana.
Kedua,
bagi masyarakat Melayu (Islam) yang tergambar pada zaman pemerintahan
Firaun di Mesir . Diramalkan bahawa seorang
kanak-kanak lelaki yang baru lahir apabila dewasa akan menjadi musuh Firaun.
Justru, Firaun bertindak membunuh semua bayi lelaki yang baru lahir. Menyedari tindakan Firaun itu,
seorang ibu yang baru melahirkan anak lelaki, telah
menghanyutkan anaknya ke dalam sungai, yang kemudiannya ditemui dan dipelihara oleh isteri Firaun,
bayi itu adalah Nabi Musa . Apabila dewasa,
jelas sekali beliau menjadi musuh Firaun .
Ketiga,
masyarakat Barat zaman moden iaitu ramalan tentang perkahwinan Putera Charles
dengan Lady Diana. Sebelum perkahwinan berlangsung , pihak istana telah menyiarkan tarikh lahir Lady
Diana iaitu 01 Julai 1961, jam 2.00 petang, dan tarikh lahir PuteraCharles
ialah 14 November 1948, jam 7.14 petang. Berdasarkan tarikhlahir kedua-dua
bakal pengantin itu, ahli nujum British membuat ramalan bahawa pasangan tersebut akan berakhir dengan tragedi . Ramalan itu sampai ke pengetahuan istana, tidak lama
kemudian pihak istana telah mengubah waktu kelahiran
Lady Diana dari pukul
2.00 petang ke pukul 7.45 petang . Setelah mereka
berkahwin dan ternyata berakhir dengan tragedi, mengesahkan ramalan ahli nujum British itu
dan membuktikan waktu lahir Lady Diana yang sebenar ialah jam 2.00 petang .
Ramalan yang ada dalam
manuskrip Ilmu Nujum Melayu ini sebahagian besarnya boleh diterima kerana ramalan dibuat mengikut formula atau kaedah tersendiri, dalam maksud bukan ramalan kosong. Aspek pernujuman dan kaedah yang digunakan menunjukkan sifat cendekia masyarakat
berkenaan.
Buku
yang berkaitan dengan Ramalan dan Nujum seperti Tajul Muluk dan Ilmu Bintang 7
atau 12 adalah contoh penulisan berkaitan dengan kepercayaan dan pola pikir
masyarakat Melayu yang membicara tentang hubungan manusia dengan tanda-tanda
alam seperti ombak, angin, dan bintang, tafsir mimpi, perubatan, perhubungan suami
istri, ilmu pelangkah yang menentukan hari-hari baik dalam menjalankan usaha
berdagang, berperang, atau bercocok tanam (yang dikenali sebagai ilmu kutika /
ketika), jadual perhitungan hari baik dan nahas dalam satu tahun, ramalan atas
barang-barang yang hilang hingga doa-doa yang dapat digunakan untuk keperluan
tertentu.
Banyaknya manuskrip berkenaan ilmu nujum adalah
bukti kuat yang mengatakan wujudnya amalan ilmu ini dlam masyarakat melayu.
Rujukan
WarisanManuskripMelayu. (2002). Kuala Lumpur: Perpustakaan
Negara Malaysia
sumber
: http://nujumabunawas.blogspot.com/
http://rumpunnusantara.blogspot.com/2009/10/kajian-bintang-dua-belas.html
olehbazrulbahaman
Kitab itu dmn ada
ReplyDeleteKitab itu dmn ada
ReplyDeleteMana saya nak cari kitab bintang 12..lama saya mencari.... selagi masih ada guru yang ada....
ReplyDeleteada yang pandai tafsir ke ws saya 01157558424
DeleteBoleh download file PDF (kitab Bintang 12) dari internet..
ReplyDeletehttps://ia902701.us.archive.org/35/items/BintangDuaBelas/BintangDuaBelas.pdf
ReplyDeletekalau kitab tib masih ada yang punya, kalau boleh saya tau ada situs nya ngak?
ReplyDeleteada yang pandai tafsir ke ws saya 01157558424
ReplyDelete