Sebuah
karya pensejarahan Melayu yang terkenal selepas Sulalatus Salatin ialah Misa
Melayu atau Ikatan Raja Ke Laut iaitu yang meriwayatkan sejarah negeri Perak
dari sejak zaman awal hinggalah ke kurun kelapan belas. Karya ini adalah hasil
karya seorang sejarawan istana kurun kelapan belas itu, iaitu Raja Chulan.
Karya ini masih berasaskan ciri-ciri pensejarahan Sulalatus Salatin malah
sebagai sebuah pensejarahan yang dianggap paling hampir dengannya, Misa Melayu
boleh dikatakan telah mewarisi asas-asas karya pensejarahan yang lebih awal
itu. Walau bagaimanapun, jika dibuat perbandingan secara lebih halus, terdapat
juga beberapa kelainan ataupun perbezaannya, iaitu selain daripada isi
kandungan kedua-duanya itu sendiri. Misalnya, Misa Melayu adalah sebuah karya
yang "realistik" serta tidak mengandungi dongeng dan cerita rakyat
atau, dengan kata lain, tidak mencampurkan dongeng dan fantasi dengan fakta
sejarah. Itulah salah satu keistimewaannya, iaitu ditinjau dari sudut dan
ukuran pengertian sejarah yang paling mutahir. Namun Misa Melayu ini masih
merupakan sebahagian daripada tradisi pensejarahan istana yang dihasilkan oleh
seorang tokoh dari perkarangan itu jua.
2.0 Riwayat Hidup Pengarang
Nama
sebenar pengarang Misa Melayu ini ialah Raja Chulan ibni Raja Hamid ibni Yang
Dipertuan Muda Sultan Mansur Syah (Marhum mangkat di Pulau Tiga). Setakat ini
tidak dapat diketahui dengna tepat akan tarikh lahir beliau. Namun demikian,
beliau adalah seorang tokoh dan sejarawan istana yang bergiat pada kira-kira
pertengahan kurun kelapan belas dan menurut R.O. Winstedt telah menghasilkan
karya pensejarahannya yang masyhur itu sebelum penghujung kurun tersebut.
Beliau adalah kemanakan Sultan Mahmud Iskandar Syah (M1600? - 1720; M. 1630 -
1720) yang bergelar "Marhum Besar Aulia Allah". Selain daripada itu
beliau pernah juga menjadi Raja Bendahara dan mengikut suatu sumber, telah
dilantik menjadi Raja Muda dan memegang jawatan tersebut hingga akhir hayatnya.
Kedudukan ini bukan sahaja menggambarkan taraf atau
mertabat sosialnya, tetapi menunjukkan pula keupayaannya memainkan pelbagai
peranan di dalam lingkungan kegiatan keluarga diraja Perak pada zamannya itu.
Misalnya, beliau turut terlibat dalam peristiwa merebutkan seorang janda
bernama siti Sarah (anak Lebai hanip orang Keling) di antara Maharaja Lela dan
Abdullah (anak guru beliau, iaitu Imam panjang) yang berkesudahan dengan Siti
Sarah itu akhirnya diserahkan oleh Maharajalela menjadi hamba Sultan Iskandar.
Beliau juga telah mengiringi pelayaran Sultan Iskandar menyusuri pantai Negeri
Perak iaitu sebagai satu usaha baginda untuk menemui rakyat dan menenangkan
fikiran selepas kemangkatan permaisuri baginda.
Dari segi pendidikannya pula, tarafnya itu sudah
tentulah membolehkan beliau mendapatkan kemudahan pendidikan yang wujud di
perkarangan istana. Dalam pada itu beliau juga mempelajari ilmu agama Islam
dengan berguru kepada Imam Panjang, bapa Abdullah tadi. Peluang pendidikan
serta kesempatan dan barangkali juga bakat yang ada, padanya, telah membolehkan
beliau menghasilkan karya pensejarahan Perak yang terkenal itu. Berdasarkan
karyanya itu, R.O. Winstedt lagi sekali mengatakan bahawa Raja Chulan itu
adalah seorang yang sangat pintar dalam hal menulis syaer dan prosa.
Raja Chulan pernah berkhidmat di bawah Sultan
Iskandar dan baginda memang menyenanginya. Beliau juga disenangi oleh orang
kebanyakan ataupun rakyat Perak secara umumnya dalam zaman pemerintahan
baginda. Namun demikian pada penghujung hayatnya terdapat anggapan bahawa
beliau telah mati dibunuh oleh seorang suami yang kononnya ingin menuntut bela.
Beliau kemudiannya digelar Marhum Mangkat Pulau Juar. Tetapi anggapan ini
kemudiannya dinafikan oleh Raja Chulan ibni Sultan Abdullah yang mengatakan
bahawa tokoh yang senama dengannya telah meninggal dunia kerana sakit tua.
Beliau meninggal dunia tatkala sedang memegang jawatan Raja Muda Perak.
3.0 Karya Pensejarahan
Seperti
yang telah disentuh lebih awal tadi, karya pensejarahannya yang berjudul Misa
Melayu telah selesai ditulis sebelum penghujung kurun kelapan belas lagi.
Selepas itu besar kemungkinan ia telah disalin ataupun ditambah oleh
penulis-penulis lain sehingga terdapat dua tarikh di dalam naskhah yang telah
disunting oleh R.O. Winstedt itu. Satu tarikh menyebut, "tamatlah Hikayat
Misa Melayu ini…" seribu dua ratus lima puluh dua." [bersamaan T.M.
1836] dan "Termaktub ini Hikayat Misa Melayu pada 25 Jamadil awal tahun
1326 [bersamaan T. M. 1908] di dalam Mukim Bandar, Haji Othman. Karya suntingan
oleh R.O. Winstedt itu, yang telah menjadi naskhah paling popular, adalah
didasarkan kepada tiga naskhah asal.
Naskhah yang pertama, milik al-Marhum Sultan Idris
Perak adalah sebuah naskhah yang lengkap sedangkan yang kedua pula hanya
mengandungi sebahagian sahaja sejarah negeri itu. Naskhah yang ketiga hanya
mengandungi syaer yang sama seperti yang terdapat di dalam naskhah pertama.
Naskhah ketiga ini telah disusun semula oleh Abdul Talib Hj. Ahmad dan
diterbitkan dengan judul, Syaer Pelayaran Sultan Iskandar Perak. Mengenai judul
karya ini pula, Misa Melayu, R.O. Winstedt menganggap perkataan Misa sebagai
"contoh" atau "kisal" yang dikatakan diambil dari bahasa
Jawa. Sementara Haji Buyong Adil pula mengertikannya sebagai "kerbau"
iaitu yang merupakan suatu lambang kegagahan atau kepahlawanan lantas
memberikan makna Misa Melayu itu sebagai "Pahlawan Melayu". Walau
bagaimanapun, dari segi sejarah, yang lebih penting daripada memperkatakan
makna tajuk karya ini ialah hakikat bahawa karya ini adalah sebuah karya pensejarahan
yang penting, terutamanya bagi negeri Perak.
4.0 Sebab-sebab Penulisan
Motif
ataupun penghasilan karya tersebut adalah juga merupakan sesuatu yang lazim
bagi karya pensejarahan tradisi Melayu khasnya dan tradisi lain secara amnya.
Yang pertama ialah ia dihasilkan dengan tujuan memenuhi kehendak atau
permintaan maupun perintah raja. Dalam hal Misa Melayu khasnya, Raja Chulan
telah memaklumkan perintah itu menerusi serangkap syair yang berbunyi;
Tuanku
titahkan patek mengarang;
Diperbuat
juga sebarang-barang;
Sajaknya
janggal manisnya kurang;
Haram
tak sedap didengar orang.
Tujuan
pengarang menerima titah penulisan itu pula adalah jelas iaitu seperti yang
tertera di dalam rangkap syair yang sebelumnya;
Patek
persembahkan satu sahifah
Ke
bawah hadrat duli khalifah
Kebesaran
daulat makin bertambah
Khabarnya
masyhur yang amat limpah.
Kemudian daripada itu terdapat beberapa banyak
rangkap syair yang memuji atau menyanjung ketokohan raja yang berkenaan dan
juga kegemilangan zaman pemerintahannya. Inilah motif sebenar penghasilan karya
pensejarahan Misa Melayu ini. Dalam pada itu motif yang menekankan kepentingan
bagi zurian yang akan datang iaitu suatu motif penghasilan karya pensejarahan
yang kerap terdapat di dalam beberapa karya yang tidaklah dinyatakan dengan
jelas. Hanya di satu tempat ada disebutkan kata-kata, ".. supaya bolehlah
akan zaman kita disebut orang kemudian kelak. Namun, kata-kata tersebut
tidaklah merujuk kepada motif penghasilan Misa Melayu itu, tetapi adalah kepada
pembinaan sebuah mahligai di Pulau Indera Sakti.
Pada hakikatnya kaedah penyelidikan sejarah yang
tertera di dalam Misa Melayu ini tidaklah jauh berbeza dari apa yang dapat di
dalam Sulalatus Salatin karangan Tun Seri Lanang itu. Malah boleh dikatakan
bahawa kaedah penyelidikan yang dilaksanakan Raja Chulan adalah merupakan
lanjutan ataupun tiruan daripada apa yang telah dilakukan oleh Tun Seri Lanang.
Seperti Tun Seri Lanang, Raja Chulan juga menerima titah sultan untuk
melaksanakan penulisan karya itu dengan penuh kebimbangan yang rendah hati. Ini
digambarkan melalui beberapa rangkap syair beliau yang berbunyi;
Tuanku
titahkan patek mengarang
Diperbuat
juga sebarang-barang
Sajaknya
janggal manisnya kurang
Haram
tak sedap didengar orang.
Pancaran
Melayu hamba yang kurang
Tewaslah
dari sekaliannya orang
Satupun
tidak guna sekarang
Hingga
sekadar disuruh mengarang.
Patek
persembahkan suatu rencana
Kisah
hadzrat yang amat gana
Patek
nan hamba tiada berguna
Sekadar
mengiringkan barang kemana
Patek
nan dihaif hamba terbuang
Hiduppun
serupa dengan keluang
Tambahan
diam di awang-awang
Sebarang
maksud hingga terkarang
Maka
berani berdatang sembah
Harapkan
ampun juga bertambah
Patek
nan hamba di bawah limbah
Hidup
umpama sehelai sampah
Sungguhpun
patek duduk menyurat
Banyak
tak faham tamsil ibarat
Laksana
perahu sauhnya sarat
Melainkan
ampun duli hadzat.
Dari rangkap-rangkap syair itu dapat diimbaskan
bahawa Raja Chulan telah sanggup melaksanakan tugas mengarang
"rencana" atau "menyurat" seperti yang dititahkan oleh
rajanya itu. Namun beliau menerimanya dengan segala rendah hati dan menganggap
dirinya sebagai seorang yang "banyak tak faham tamsil ibarat". Dengan
kata lain beliau menggambarkan dirinya sebagai tidaklah mempunyai keupayaan
yang sewajarnya bagi menghasilkan "cerita" yang dikenendaki oleh
rajanya itu. Namun oleh kerana tugas itu adalah merupakan suatu titah perintah,
maka beliau mestilah melaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Sebenarnya gambaran beliau tentang dirinya itu
hanyalah suatu pernyataan yang sudah menjadi klisye di kalangan kebanyakan
sejarawan tradisi Melayu. Dari satu segi ia menggambarkan sikap suka
merendahkan diri terhadap pihak yang berkuasa dan dari segi yang lain pula
sikap tawadhu' terhadap Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengan bersikap demikian
mereka berhadap akan terhindar daripada bersikap bongkak, meninggi diri dan
takbur, iaitu perkara-perkara yang sudah tentu akan menimbulkan reaksi serta
dimurkai pula oleh Allah SWT.
Walau bagaimanapun dengan bersikap demikian,
bukanlah bererti Raja Chulan telah sebenarnya menghasilkan karya yang kurang
baik. Hakikat yang sebenarnya adalah sebaliknya. Beliau telah menghasilkan
sebuah karya pensejarahan yang memang tinggi nilainya, samada dari pensejarahan
itu sendiri maupun dari segi kepengarangnya. Jika diukur dari segi zaman kita ini,
maka bagi menghasilkan karya yang demikian tiu sudah tentulah seseorang
sejarawan itu perlu melakukan penyelidikan sewajarnya serta rujukan terhadap
sumber-sumber yang berkaitan denga peristiwa-peristiwa yang dipaparkan.
Nampaknya hal ini telah dilakukan oleh Raja Chulan
dengan sebaiknya iaitu mengikut keadaan, keupayaan dan barangkali juga tuntutan
serta asas-asas berkarya pada zamannya itu. Misalnya, beliau telah merujuk
kepada sumber-sumber, khususnya sumber-sumber lisan iaitu seperti yang
tergambar melalui penggunaan istilah-istilah seperti, "… tersebutlah
perkataan …", "… diceritakan oleh orang yang empunya cerita …"
dan "… tersebutlah alkisah …" Walaupun rujukan yang dibuatnya
tidaklah sejelas atau setepat yang dilakukan oleh Raja Ali Haji di dalam Tuhfat
al-Nafis kemudiannya, namun konsep asas membuat rujukan ternyata memang
dilakukannya.
Tun Seri Lanang pula, kedudukannya sebagai keluarga
diraja yang berhubung erat dengan sultan yang sedang memerintah memberikan pula
keupayaan atau kesempatan merujuk kepada bahan-bahan yang tersimpan di
perpustakaan istana. Tetapi berbeza dengan Tun Seri Lanang, beliau tidaklah
dititahkan "memperbaiki" semula sebuah hikayat yang sudah ada; beliau
dititahkan mengarang sebuah karya asli mengenai sejarah diraja Perak dengan
tumpuan khas terhadap raja-raja yang memerintah pada kuruh kelapan belas
Masehi, terutamanya Sultan Muzaffar Syah (M1756-2770 T.M.) dan Sultan Iskandar
Syah (M1770-1778 T.M.). Dengan kata lain, beliau banyak mencatatkan sejarah
negeri Perak yang berlaku sekitar zamannya. Beliau sendiri menyuarakan hal ini
dalam serangkap syair yang berbunyi;
Tuanku
ampuni patek mengarang
Kisah
hadzrat zaman sekarang
Takhta
desa negeri yang terang
Raayat
umpama laut dan karang.
Dengan
hal yang demikian maka salah satu lagi sumber yang digunakannya bagi
menghasilkan karyanya itu ialah pengalaman beliau serta pengamatannya terhadap
peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zamannya itu.
5.0 Ringkasan Isi Kandungan
Seperti
yang telah dinyatakan di atas Misa Melayu adalah sebuah sejarah atau lebih
tepat lagi, babad diraja Perak dari sejak awal hinggalah zaman pemerintahan
Sultan Alauddin Mansur Syah dengan tumpuan terhadap Sultan Mudzafar Shah dan
sultan Iskandar Dzulkarnain. Oleh itu Sultan-sultan Perak yang memerintah Perak
pada peringkat awal dan selepas kedua orang sultan tersebut disebut secara
ringkas sahaja. Salasilah itu bermula dengan Al-Marhom Jalilullah yang
mempunyai beberapa orang putera. Selepas kemangkatan baginda, takhta kerajaan
diganti oleh Marhum Besar yang digelar Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah
selama 120 tahun. Baginda diganti pula oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang
memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah
terbahagi kepada dua iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu dengan
gelaran Sultan Mudzafar Shah dan satu lagi ialah kawasan Pulau Tiga yang
diperintah oleh Raja Bisnu dengan yang gelaran Sultan Muhamad Shah.
Negeri Perak yang telah terbahagi kepada dua itu
akhirnya berjaya disatukan semula atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar
iaitu putera sulong Sultan Muhamad Shah. Raja Iskandar inilah yang telah
membantu Sultan Mudzafar Shah dalam pemerintahan baginda; misalnya tatkala
menentang serangan dari Sultan Berkabat iaitu seorang raja Minangkabau
bersama-sama dua orang putera Raja Bugis iaitu Daeng Matkah dan Daeng
Menchelak. Serangan ini telah dapat dipatahkan. Dalam zaman pemerintahan Sultan
Mudzafar Shah juga negeri Perak membuat hubungan dengan Belanda. Melalui
hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli pasaran bijih timah yang
dibawa keluar melalui sungai Perak.
Mereka membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan
Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga
kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji
perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Sedikit sebanyaknya, dengan
kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri
Perak pada ketika itu. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah itu juga
telah berlaku satu percubaan pemberontakan terhadap baginda yang diketuai oleh
Raja Alam. Raja Alam telah membuat pakatan dengan beberapa orang Bugis tempatan
bagi melaksanakan menderhaka kepada rencana beliau itu. Ia berpunca dari
perasaan tidak puashati dan kesal kerana beliau tidak dibenarkan Raja Iskandar
mengikuti Sultan Mudzafar Shah berpindah ke Kuala Kangsar. Sultan Mudzafar Shah
telah mendapat tahu tentang rancangan Raja Alam itu dan hal ini telah
menyebabkan Raja Alam memerintah supaya beliau ditahan di Pulau Tiga. Selang
tiada beberapa lama Raja Alam sekali lagi cuba melancarkan pemberontakan
terhadap Sultan Mudzafar tetapi dengan bantuan pihak Belanda, Raja Alam telah
berjaya ditangkap dan dibuang ke Melaka.
Selepas kemangkatan ayahanda Raja Iskandar iaitu
Sultan Muhammad Shah, Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak
Rasul dengan Raja Iskandar iaitu Raja muda. Kedua-duanya telah bertunang
sebelum itu. Dilaksanakan adat istiadat seperti meminang, adat bertindik bagi
puteri baginda dan seterusnya upacara perkahwinan yang meriah yang berlangsung
selama empat puluh hari empat puluh malam. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar
pada H. 1167-M. 1756, Raja Muda Iskandar telah ditabalkan menjadi Sultan dengan
gelaran Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat ur-Rahman. Zaman pemerintah
Sultan Iskandar ini telah diceritakan dengan panjang serta lebih terperinci
jika dibandingkan dengan pemerintah raja-raja yang sebelum dan selepas baginda.
Semasa pemerintahannya, Sultan Iskandar telah
memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Chempaka
Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya
persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, berpunca
angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Walau bagaimanapun masalah
tersebut akhirnya dapat diselesaikan. Perjanjian di antara Belanda dengan
negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan
dengan bijih timah. Selepas itu rancangan memindahkan ibu kota dari Brahman
Indera ke Pulau Chempaka Sari telah dilaksanakan. Pulau Chempaka Sari
kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Ingera Sakti dan bandarnya dinama
Bandar Makmur.
Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar turut
dikisahkan tentang temasya baginda menangkap (menuba) ikan di Sungai Budiman
dan Sungai Timah yang digambarkan dengan meriah sekali. Selain daripada itu
dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada
saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Manakala semasa permaisuri baginda
hamil tujuh bulan diadakan istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Juga
diadakan temasya yang memaparkan pertunjukan berbagai jenis permainan dari
berbagai bangsa (Melayu, Cina, India) selama tujuh hari tujuh malam.
Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah
mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi
dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai
sebuah mahligai yang terlalu istimewa dengan kemuncaknya yang dibuat dari perak
bertatah emas dan permata pudi manikam dan sebagainya. Daun-daun pudi yang
digantung di Mahligai itu pula akan berbunyi seperti buluh perindu apabila ditiup
angin dan bergermelapan jika dilihat dari jauh. Selepas itu diadakan upacara
maulud pada 12 Raiulawal sempena meraikan siapnya mahligai itu dan juga
perpindahan baginda sekeluarga ke situ. Mahligai itulah yang dianggap akan jadi
ingatan kepada zuriat baginda pada masa yang akan datang.
Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang
kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F.
Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Tetapi mereka mahukan agar bijih
timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ.
Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ianya dilakukan
di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba mengertak dengan menembak ke
arah Shahbandar dan Menteri kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan
kapitan Belanda untuk singgah ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan
bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan
Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon
keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang
semula.
Tidak lama selepas itu permaisuri baginda Sultan
Iskandar telah uzur dan seterusnya mangkat. Setelah berakhir hari perkabungan
selama 100 hari, baginda telah pergi "bermain-main ke laut" dengan
diiringi oleh segala hulubalang dan hamba rakyat. Pada masa inilah Raja Chulan
telah dititahkan pula supaya mengarang syair bagi mencatatkan peristiwa baginda
bermain ke laut itu dan juga ketokohan serta zaman pemerintahan baginda secara
amnya. Syaer itu berjumlah 481 rangkap semuanya. Baginda Sultan Iskandar
memerintah selama kira-kira empat belas tahun. Setelah baginda mangkat, baginda
telah digantikan pula oleh Sultan Mahmud Shah.
Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam
zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor telah
datang mengadap dan seterusnya telah diberi gelaran Sultan Salehuddin. Sultan
Sallehuddin kemudiannya telah berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud Shah.
Selepas kira-kira lapan tahun memerintah bagindapun mangkat dan diganti pula
oleh adinda baginda iaitu Sultan Alauddin yang dikatakan memerintah negeri
Perak dengan adil dan saksama.
6.0 Bentuk Pensejarahan
Dari
segi bentuk pensejarahan Misa Melayu masih mewarisi beberapa ciri pensejarahan
tradisi seperti yang terdapat di dalam Sulalatus Salatin. Dengan itu Misa
Melayu boleh dikatakan telah mewarisi bentuk pensejarahan Melayu-Islam seperti
juga Sulalatus Salatin. Antara cirinya ialah penggunaan tarikh yang tepat bagi
sesuatu peristiwa. Di dalam Misa Melayu Raja Chulan juga memasukkan tarikh
dalam penulisannya, misalnya menyebut 12 Rabiulawal semasa diadakan upacara maulud
dan 7 Zulhijjah 1167 sebagai tarikh kemangkatan Sultan Mudzafar Shah. Namun
begitu penggunaan tarikh di dalam Misa Melayu tidaklah sekerap Tuhfat al-Nafis
karya Raja Ali Haji. Selain daripada itu bentuk penulisannya juga banyak
mengandungi ciri pensejarahan Islam; antaranya ialah memulakan penulisannya
dengan lafaz "Bismi'llahi rahmani'r-rahim" dan juga memasukkan
kata-kata seperti "dengan izin Allah", "dibuka Allah ta'ala
kepada hati baginda" dan sebagainya.
Besar kemungkinan wujudnya ciri-ciri tersebut adalah
disebabkan pembacanya terhadap karya-karya pensejarahan Melayu-Islam atau Islam
yang lainnya ataupun hasil dari pendidikan Islam yang telah diterimanya.Dalam
pada itu jika dibandingkan karya ini dengan karya-karya seperti Sulalatus
Salatin ia menunjukkan satu kelainan iaitu Misa Melayu tidak mengandungi
unsur-unsur yang berupa metos dan dongeng walaupun beberapa ciri kesusasteraan
yang lain masih ada dimuatkan. Misalnya ia memuatkan pantun dan syair. Di
samping itu terdapat juga penggunaan dialog atau kata-kata yang diucapkan oleh
tokoh-tokoh tertentu. Sementelah itu seperti juga Sulalatus Salatin, Misa
Melayu dikarang atas perintah baginda Sultan Iskandar Dzulkarnain.
Sebagai seorang pengarang Melayu Islam, Raja Chulan
masih terikat dengan sikap atau kebiasaan pengarang lama yang gemar merendah
diri. Sikap tersebut telah digambarkan oleh Raja Chulan melalui rangkap-rangkap
syairnya yang telah kita nyatakan lebih awal tadi. Namun apa yang dihasilkannya
adalah sesuatu yang sangat penting dari pensejarahan dan sejarah negeri Perak
itu. Ini ialah kerana di samping merupakan sebuah karya pensejarahan ia juga
adalah sebuah sumber sejarah yang penting bagi negeri tersebut. Ia mengandungi
peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku yang menjelaskan kepada kita
perkara yang berkait dengan struktur politik, serta kerajaan beraja yang
berkuasa mutlak sistem dan kegiatan ekonomi dan undang-undang. Segalanya adalah
berpusat di tangan golongan pemerintah iaitu raja dan pembesar-pembesar negeri.
Juga dimuatkan salasilah atau jurai keturunan pemerintahan kerajaan negeri
Perak sejak awal, susunan pembesar-pembesar negeri, struktur masyarakat, adat
istiadat dan bentuk-bentuk kesenian yang wujud terutamanya dalam kurun yang
kelapan belas itu.
Walaupun Misa Melayu dikatakan ditulis dengan tujuan
untuk menggambarkan kegemilangan kerajaan negeri Perak abad ke 18, namun itu
tidaklah bermakna bahawa pengarang telah menghasilkan karya dengan sewenangnya
sahaja. Sebagai seorang yang berpeluang mendapat pendidikan dan mempunyai hubungan
kekeluargaan pula dengan Sultan, sudah tentulah beliau terpaksa berhati-hati
dalam menghasilkan karyanya. Hasilnya ialah sebuah karya pensejarahan yang
boleh dipertanggungjawab kesejarahannya.
Ia juga tidak mengandungi unsur metos dan legenda
kecuali pad abahagian awal yang mengaitkan keturunan raja Perak itu dengan
tokoh legenda Raja Suran yang pernah turun ke laut. Syair-syair yang
dikarangkan di bahagian kedua Misa Melayu itu pula bukanlah berbentuk hiburan
semata-mata; malah mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah yang
berguan. Ini digambar di dalam karya Abdul Talib Haji Ahmad yang menyusun
semula syair tersebut dengan judul "Shaer Pelayaran Sultan Iskandar"
telah membahagikannya kepada enam judul peristiwa iaitu "Pelayaran
Raja", "Angkatan Raja Membongkar Sauh", "Angkatan Diraja di
Tanjong Putus", "Zaman Belanda", "Sewaktu Angkatan
Meninggalkan Kuala Perak" dan "Bertemu Dengan Kapal Inggeris".
Selain daripada itu syair tersebut memuatkan juga gambaran tentang peribadi
raja dan para pembesar di Perak terutamanya dalam zaman pemerintahan kedua
orang Sultan yang menjadi tumpuan hikayat ini.
Beberapa peristiwa yang dimuatkan di dalam Misa
Melayu juga didapati tercatat di dalam sumber-sumber selain lain, samada
tempatan maupun asing, terutamanya sumber-sumber Belanda. Persamaan-persamaan
ini sebenarnya bukan sahaja mengukuhkan lagi kesejarahan Misa Melayu itu,
tetapi menampakkan pula kesedaran sejarah pengarangnya dalam menghasilkan karya
yang berbentuk pensejarahan. Antara persamaan itu misalnya, ialah peristiwa
kedatangan Raja Selangor iaitu Raja Lumu ke Perak yang juga ada dicatatkan di
dalam Tuhfat al-Nafis; cuma di dalam Tuhfat al-Nafis Raja Lumu dipersilakan
oleh Raja Perak sedangkan di dalam Misa Melayu, Raja Lumu datang mengadap bersama-sama
dengan Raja Ali Haji. Selangor sebagai yang Dipertuan Besar bagi negeri
selangor dan digelar Sultan Salehuddin juga ada disebutkan. Persamaan ini
seperti yang telah dinyatakan dapat menguatkan lagi kedudukan Misa Melayu
sebagai sebuah karya pensejarahan. Dari segi yang lain pula, nama-nama tempat
yang disebutkan di dalam Misa Melayu memang sebenarnya wujud. Antara tempat
tersebut ialah Pulau Tiga, Sungai Kinta, Sayong, Kuala Kangsar, Kuala Bidor,
Sungai Budiman, Bukit Gantang, Padang Adam dan Pulau Indera Sakti yang terletak
dekat dengan bandar di tepi Sungai Perak. Begitu juga dengan Tanjong Putus yang
terletak di bandar Telok Intan sekarang ini. Kota Berahman Indera iaitu yang
pernah menjadi ibu kota negeri Perak dalam zaman Sultan Muzaffar Shah seperti
yang tertulis di dalam Misa Melayu itu dikenali sebagai Bota Kanan pada masa
ini.
7.0 Kesimpulan
Dapat
dikatakan bahawa Misa Melayu adalah sebuah karya pensejarahan yang tinggi
nilainya. Ia mewarisi, malah melanjutkan bentuk pensejarahan Melayu yang masih
terikat dengan ciri-ciri Islam yang sudahpun wujud di dalam Alam Melayu sebelum
ini. Antara keistimewaannya yang jelas ialah ia tidak mengandungi dongeng dan
metos seperti yang terdapat di dalam beberapa karya sebelumnya. Sungguhpun
terdapat beberapa kekurangan jika diukur dari sudut pengertian sejarah yang
mutakhir, namun karya ini adalah hasil dari kefahaman dan kesedaran sejarah
yang wujud pada kurun kelapan belas itu. Dengan keadaan yang demikian pun,
karya ini masih mempunyai nilai yang tinggi dari segi sejarah dan pensejarahan.
Sesuai dengan sifatnya yang menumpu kepada seorang
tokoh, Misa Melayu adalah sebuah hasil "semi-panegyric" yang bercorak
sejarah. Dengan berpusatkan ketokohan Raja Muda atau Sultan Iskandar
Zulkarnain, di sekelilingnylah proses dan perubahan sejarah Perak pada abad
ke-18 itu bergerak. Malah apabila cukup yakin dengan karisme dan kebolehan
kepimpinan Sultan Iskandar dalam proses perpolitikan Perak pada abad itu, maka
Raja Chulan menyebutnya sebagai tokoh politik tanpa bandingan, '... tiada
siapa-siapa menyamai Raja Muda itu pada zamannya. Dakwaannya ini dan bahagian
riwayat lain yang menyokong dakwaan tersebut dirujuk kepada sumber-sumber luar
dan tempatan sezaman, abad ke-18 dalam pensejarahan masyarakat dan politik
Melayu di Perak, adalah pensejarahan yang cukup mencabar dan menarik.
Pensejarahan tersebut dengan sendirinya memancarkan
ciri-ciri internal dynamics sebuah negeri dan kerajaan Melayu Semenanjung
selama seabad. Antara zaman disintegration politik dan wibawa dengan zaman
integration, terdapat dan berlaku banyak perubahan sejarah serta ekonomi
masyarakat tersebut. Adat resam dan kebudayaan terus dikekalkan dan diamalkan.
Malah dalam konteks kesinambungan, abad tersebut menjadi penghubung bagi proses
dan tradisi pensejarahan abad sebelum dan selepasnya, hinggalah pada pada masa
kini. Dalam aspek kedinamikannya, abad tersebut tidak statik, dan bukan
merupakan "zaman gelap" dalam sejarah Perak seperti yang sering
ditanggap. Malah apabila dibandingkan di antara zaman sebelum dan selepasnya,
abad ke-18 adalah zaman emas di dalam pensejarahan Perak, seperti dugaan
sesetengah pengkaji dan penulis sejarah. Misa Melayu sendiri memancarkan
hakikat ini.
Rujukan
Misa Melayu oleh Raja Chulan. 1962. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Buyong Adil. 1972. Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Buyong Adil. 1972. Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Di mana saya boleh dapatkan bahan ini:
ReplyDeleteNaskhah ketiga ini telah disusun semula oleh Abdul Talib Hj. Ahmad dan diterbitkan dengan judul, Syaer Pelayaran Sultan Iskandar Perak.