PENERAPAN KARYA AGUNG MELAYU
DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN DI BILIK
DARJAH
MOHD FAISAL BIN ARSHAD
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat proses penerapan
karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Kajian
ini berbentuk kepustakaan, iaitu setiap maklumat dan data dianalisis sepenuhnya
berdasarkan sumber rujukan yang dipilih. Selain itu, pengkaji juga hanya
membataskan kajian ini kepada subjek bahasa Melayu sahaja. Penelitian yang
menyeluruh dibuat untuk melihat kesesuaian penggunaan karya agung Melayu
sebagai bahan bantu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu,
dibincangkan juga teknik-teknik penyampai pengajaran berkesan oleh guru.
Berdasarkan maklumat daripada sumber rujukan, terdapat lebih daripada 10 teknik
pengajaran, namun dalam kajian ini pengkaji hanya menghuraikan satu teknik
sahaja, iaitu melibatkan cara mengaplikasikan penggunaan teknik tersebut.
Kata Kunci: penerapan, karya agung, pengajaran dan pembelajaran,
teknik pengajaran.
1.0
PENGENALAN
Secara umumnya, karya agung
merujuk kepada karya-karya unggul hasil nukilan penulis-penulis terdahulu.
Hasil penulisan karya ini diangkat menjadi karya agung disebabkan nilai sejarah
yang terdapat dalam inti kandungan kepengarangannya. Menurut Hassan Ahmad
(2000:4) menyatakan bahawa tamadun sesuatu bangsa merupakan warisan daya cipta
bangsa itu yang dapat dikenali dan dipelajari berdasarkan karya-karya ulung
para karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuwan bangsa itu sepanjang
sejarahnya. Tambahnya lagi, karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan
kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam
kesedaran atau psyche dan ingatan
bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan
nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu (Hassan Ahmad,
2000:4). Selain itu, berikut merupakan petikan berkaitan perkembangan
kesusasteraan tradisional Melayu:
Proses
pembentukan tradisi dan ketamadunan yang sama berlaku di Alam Melayu, lahirnya
daripada “fitrah” manusia untuk mengenal Penciptanya (proses metafizikal),
daripada interaksi manusia dengan alam sekitarnya yang terdekat (proses
pengalaman), dan melalui pertembungan masyarakat atau tradisi setempat
(peribumi) dengan unsur-unsur tamadun luar (proses akulturasi). Pengalaman ini
dirakamkan dan diungkapkan dalam kesusasteraan tradisional Melayu sepanjang
zaman, pengalaman yang tidak terpisah oleh ruang tempat dan waktu, atau ruang
sejarah, tetapi bersinambung untuk melahirkan warisan atau tradisi bersama yang
kekal dalam ingatan atau minda bangsa Melayu hingga hari ini.
(Hassan Ahmad, 2000:2-3)
Pendapat
ini disokong oleh Seri Lanang Jaya Haji Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd.
Rashid Md. Idris dan Naffi Mat (2013:3) yang menyatakan bahawa karya agung
Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan
pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup,
adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk
sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah
kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tambah mereka lagi,
karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau
dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain) dalam bahasa Melayu,
tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu
ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu
Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan lain-lain. Yang penting karya berkenaan
mampu mencetuskan unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah
atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun dalam bentuk dan gaya yang
hebat dan mengesankan (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al., 2013:3).
Seterusnya, dalam kajian ini pengkaji cuba melihat proses
penerapan karya agung dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, iaitu
melihat kesesuaian dan kelebihan penggunaan teks karya agung kepada murid.
Secara umumnya, dalam tidak kita sedari sebenarnya kita sudah sekian lama
didedahkan dengan kisah-kisah kehidupan zaman dahulu sejak dari bangku sekolah
rendah lagi. Berdasarkan pengalaman pengkaji, kisah tentang Hang Tuah, Badang
dan sebagainya sudah acap kali diceritakan secara lisan oleh guru. Walaupun
tidak diajarkan secara formal, namun kisah-kisah ini sebenarnya sudah berakar umbi
dalam diri kita sejak kecil lagi. Jika ditinjau dari aspek pendidikan formal
pula, penerapan karya agung lebih banyak ditekankan dalam subjek kesusasteraan Melayu
di sekolah menengah. Buktinya, teks karya agung “Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu”
yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad telah dijadikan bahan bacaan subjek kesusasteraan
Melayu tingkatan enam. Selain itu, Menurut Ahmad Fauzi Mohd. Basri (1992)
menyatakan bahawa mulai tahun 1960-an Misa Melayu menjadi bahan bacaan subjek
kesusasteraan Melayu di sekolah menengah dan sejak itu Misa Melayu mula dikaji
secara ilmiah. Tambahnya lagi, pada tahun 1970-an Misa Melayu dikaji dari segi
sejarah dan sastera sebagai latihan ilmiah.
Walau bagaimanapun, kajian tentang teks Misa Melayu
dilihat agak kurang selepas tidak lagi digunakan sebagai bahan bacaan subjek
kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Menyedari hakikat ini, pengkaji cuba
mengenal pasti usaha yang boleh dilakukan untuk menerapkan kembali penggunaan
teks karya agung dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,
terutamanya dalam subjek bahasa Melayu. Berikut diterangkan terlebih dahulu
secara ringkas tentang konsep pengajaran dan pembelajaran dalam dunia
pendidikan. Secara umumnya, sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan dua
aktiviti yang saling berkait rapat. Sesi pengajaran merujuk kepada aktiviti
guru dalam menyampaikan kandungan pelajaran manakala pembelajaran pula merujuk
kepada aktiviti murid untuk mendapatkan kandungan pelajaran. Menurut Adenan
Ayob & Khairuddin Mohamad (2012:262) mentakrifkan bahawa pengajaran
merupakan pelaksanaan melibatkan usaha guru untuk membimbing, menggalak dan
memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar demi memperoleh
ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran.
Selain itu,
Adenan Ayob, Kamariah Abu Bakar, Zakaria Kasa & Aida Suraya Md Yunus
(2011:27) menyatakan bahawa mengikut fahaman ahli psikologi teori behaviorisme,
pembelajaran pula merupakan satu proses perubahan tingkah laku yang berlaku
pada seseorang. Ada juga berpendapat bahawa pembelajaran merupakan keupayaan
seseorang berubah daripada tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan kepada boleh
melakukannya. Pembelajaran boleh dikatakan satu keputusan daripada pengalaman
atau interaksi dengan persekitaran yang akan meningkatkan tahap kefahaman
seseorang dalam menempuh kehidupan. Hal ini turut dipersetujui oleh Morgan dan
King yang menganggap pembelajaran itu sebagai apa sahaja tingkah laku yang
kekal akibat pengalaman yang telah diperoleh atau latihan yang telah dijalani
(Kamarudin Hj. Husin, 1997:40). Di samping itu, Kamarudin Hj. Husin (1997:39)
pula mentakrifkan pembelajaran sebagai satu proses mengakumulasi maklumat dan
pengalaman secara berterusan, yang berlaku dalam diri seseorang sejak ia dilahirkan,
sama ada disedari ataupun tidak disedari. Oleh itu, kajian ini akan memfokuskan
kepada penerapan karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu.
2.0
OBJEKTIF KAJIAN
Dalam kajian ini, pengkaji
telah menetapkan beberapa objektif yang hendak dicapai. Objektif yang hendak
dicapai adalah seperti berikut:
i. Mengenal
pasti kesesuaian penggunaan karya agung Melayu sebagai bahan bantu dalam
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
ii. Mengenal
pasti teknik pengajaran berkesan untuk menerapkan penggunaan karya agung Melayu
dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
iii. Menilai
kelebihan penggunaan karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu.
3.0
PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan objektif kajian
yang hendak dicapai, pengkaji menggariskan tiga persoalan kajian seperti
berikut.
i. Adakah
sesuai menggunakan karya agung Melayu sebagai bahan bantu dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah?
ii. Apakah
teknik pengajaran berkesan untuk menerapkan penggunaan karya agung Melayu dalam
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah?
iii. Apakah
kelebihan penggunaan karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu?
4.0
KEPENTINGAN KAJIAN
Menurut Hassan Ahmad
(2000:32) menyatakan bahawa melalui sastera tradisional Melayu kita melihat
suatu gambaran yang jelas tentang budaya dan pandangan hidup orang Melayu.
Tambahnya lagi, bahasa yang kita lihat dalam puisi dan peribahasa Melayu lahir
dari minda bangsa yang cukup peka terhadap keindahan alam fauna dan floranya,
terhadap pentingnya budi pekerti manusia sebagai nilai sosial, nilai moral dan
fungsi adat dalam kehidupan bermasyarakat, berkampung, dan berjiran, dan
terhadap pentingnya keadilan sebagai asas keamanan masyarakat dan negeri.
Selain itu, orang Melayu kuat berpegang kepada adat kerana adat membentuk
perpaduan dan peraturan dalam masyarakat, lawannya ialah anarki (Hassan Ahmad,
2000:33).
Berdasarkan
pernyataan tersebut, memberikan pemahaman kepada kita bahawa sememangnya isi
kandungan sesebuah karya agung Melayu itu mempunyai nilai pendidikan yang hebat
dan perlu dikaji oleh generasi muda. Menyedari hakikat ini, pengkaji melihat
bahawa satu pembaziran sekiranya hikayat-hikayat lama ini tidak didedahkan
kepada masyarakat, terutamanya murid sekolah. Hal ini berpadanan dengan pepatah
Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pengkaji cuba mengenal pasti
kesesuaian penggunaan karya agung Melayu sebagai bahan bantu dalam pengajaran
dan pembelajaran di bilik darjah Pengkaji
melihat bahawa karya agung Melayu boleh digunakan sebagai bahan bantu semasa
set induksi dan juga fasa lain dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Fokus kajian juga lebih kepada murid sekolah menengah
kerana mengikut teori kognitif Jean Piaget, pemikiran murid pada peringkat ini sudah
berada pada tahap sintesis, iaitu murid sudah boleh membuat rumusan terhadap
sesuatu perkara. Jika kita sedar sebelum ini penggunaan karya agung Melayu
hanya tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran subjek kesusasteraan Melayu semata-mata.
Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana terdapat pelbagai pengajaran, falsafah,
idealisme dan sebagainya dalam teks-teks karya agung Melayu. Dengan perkataan
lain, pihak yang terlibat seharusnya dapat memahami situasi ini supaya
penggunaan karya agung Melayu lebih meluas dalam semua subjek yang terdapat di
sekolah, misalnya subjek bahasa Melayu, Sejarah, Sivik dan sebagainya.
Seterusnya, diharapkan dapat melahirkan murid yang mempunyai jati diri dan
kenal sejarah bangsanya.
5.0
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk
melihat penerapan karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Kajian ini berbentuk kepustakaan (library
research), iaitu meneliti sumber maklumat berdasarkan buku-buku rujukan
yang terdapat di perpustakaan. Pengkaji meneliti setiap maklumat yang terdapat
dalam sumber-sumber rujukan yang terpilih dengan memfokuskan kepada penerapan
karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Melayu.
Antara buku yang menjadi sumber rujukan utama pengkaji
ialah Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu dan Misa Melayu. Melalui sumber rujukan
ini pengkaji cuba mengenal pasti kisah-kisah positif yang boleh diselitkan
dalam perbincangan kajian ini. Selain itu, pengkaji juga menggunakan beberapa
sumber rujukan sampingan seperti buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung
Yayasan Karyawan, Pengajaran Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu dan
sebagainya. Sumber rujukan ini dipilih sebagai pelengkap kepada isi
perbincangan yang akan dikemukakan oleh pengkaji dalam bahagian yang
seterusnya.
6.0
DAPATAN KAJIAN
6.1 Karya Agung Melayu
sebagai Bahan Bantu Mengajar
Secara umumnya, dalam dunia
pendidikan di Malaysia karya agung Melayu turut berada dalam genre sastera.
Menurut Koh Boh Boon (1994) menyatakan bahawa Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM telah memperuntukkan
satu waktu dalam seminggu bagi Pengajaran Sastera dalam Pendidikan Bahasa
Melayu (PSPBM). Tambahnya lagi, penyelidikan yang telah dijalankan mendapati
bahawa pada amnya guru bahasa Melayu kurang memahami falsafah PSPBM. Mereka
juga kurang yakin dan cekap dalam usaha menjalankan program PSPBM di sekolah
mereka. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa pihak kerajaan sudah menyediakan
satu medium kepada guru-guru untuk mendedahkan karya-karya sastera ini kepada
murid. Walaupun kita sedia maklum bahawa teks sastera yang hendak diajarkan
telah siap dipilih dari peringkat awal, namun pada pengamatan pengkaji tidak
salah sekiranya pada hari-hari tertentu guru menggunakan teks daripada karya
agung Melayu sebagai lencongan daripada rutin kebiasaannya.
Hal ini berpadanan dengan pendapat yang dikemukakan oleh
Rahman Shaari (1990) dalam Koh Boh Boon (1994:1-2) yang menyatakan bahawa
terdapat dua sebab mengapa sastera menjadi bahan yang menarik. Pertama, ‘bahan
sastera menggunakan bahasa secara yang terbaik’ dan ‘jika bahan yang dipilih
itu berupa karya atau sebahagian daripada karya sastera yang bermutu, maka
bahasanya tetap menarik, terutamanya daripada sudut keindahan’. Kedua, ‘bahan
sastera memiliki daya tarikan yang dapat menimbulkan minat untuk membacanya’,
dan daya tarikan ini berpunca daripada sifat karya sastera yang selalunya
memiliki ciri-ciri menghibur’. Berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh
Rahman Shaari (1990) ini, Koh Boh Boon (1994) merumuskan bahawa sudah tentu
jika dipilih secara teliti dari segi mutunya, dan dirancang secara bijak dari
sudut penggunaannya, bahan sastera boleh menjadi bahan pengajaran yang tinggi
potensinya dan akan mendatangkan pelbagai manfaat kepada murid dalam proses
pendidikan bahasa Melayu.
Seterusnya, pengkaji melihat terdapat hubungan yang
signifikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran komponen sastera (KOMSAS).
Hal ini demikian kerana fungsi sesebuah pantun, syair, gurindam, seloka, sajak,
cerpen, novel, drama dan sebagainya yang terdapat dalam buku antologi
bermatlamat untuk memberikan nasihat dan pengajaran kepada murid selepas
membacanya. Oleh itu, tidak salah sekiranya guru menggunakan teks daripada
karya agung Melayu sebagai bahan tambahan kepada kandungan pelajaran kerana
pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid akan memperoleh ilmu dan manfaat
yang sama, iaitu kesan positif daripada pembacaannya. Misalnya, guru boleh
bersoal jawab dengan murid cara untuk menjadi seorang manusia yang berguna.
Seterusnya, mengaitkan pula dengan masa depan murid tersebut yang mungkin bakal
menjadi pemimpin untuk sesebuah organisasi, masyarakat, keluarga dan
sebagainya. Guru boleh bersoal jawab tentang ciri-ciri yang perlu mereka
tanamkan dalam diri mereka dengan mengambil contoh daripada kisah yang terdapat
dalam karya agung Melayu. Berikut merupakan contoh petikan daripada Misa
Melayu:
Syahadan baginda
itulah lagi bertuah lagi berdaulat dan arif bijaksana, bangsawan lagi dermawan
pada barang segala bicara dan perintah hukum Allah dan hukum istiadat negeri
memelihara segala rakyat. Maka beberapa kali didatangi segala bahaya musuh dan
seteru, maka dengan berkat tuah istimewa pula dengan daulat baginda dan baik
akal bicaranya tiadalah dibiari Allah Taala sampai kepadanya segala mara bahaya
itu, adanya
(Misa
Melayu, 1992:3)
Berdasarkan petikan ini, murid boleh mengambil contoh
ciri-ciri yang dimiliki oleh Sultan Iskandar Zulkarnain semasa baginda memimpin
takhta pemerintahan negeri Perak Darul Ridzuan. Di samping itu, menurut Koh Boh
Boon (1994) menyatakan bahawa karya sastera Melayu boleh digunakan oleh guru
bahasa Melayu sebagai satu bahan rangsangan untuk mencapai objektif-objektif
pendidikan bahasa Melayu seperti:
i. Menanam tabiat suka membaca.
ii. Memupuk penghayatan dan penghargaan terhadap keindahan bahasa Melayu.
iii. Mengayakan perbendaharaan kata yang aktif.
iv. Meninggikan kemahiran-kemahiran berbahasa terutamanya kemahiran bertutur dan menulis.
v. Menyemai nilai-nilai murni dan positif.
i. Menanam tabiat suka membaca.
ii. Memupuk penghayatan dan penghargaan terhadap keindahan bahasa Melayu.
iii. Mengayakan perbendaharaan kata yang aktif.
iv. Meninggikan kemahiran-kemahiran berbahasa terutamanya kemahiran bertutur dan menulis.
v. Menyemai nilai-nilai murni dan positif.
Seterusnya,
bercakap dalam konteks luar daripada pelajaran komponen sastera (KOMSAS),
pengkaji melihat bahawa karya agung Melayu juga sesuai dijadikan sebagai bahan
bantu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bahagian lain dalam subjek bahasa
Melayu seperti penulisan karangan, rumusan, ringkasan dan sebagainya. Menurut
Adenan Ayob & Khairuddin Mohamad (2012:136) menyatakan bahawa pembelajaran
berpusatkan bahan bermaksud pergantungan kepada bahan untuk mencapai sesuatu
objektif pembelajaran. Dalam hal ini, interaksi dan komunikasi berlaku antara
murid dengan bahan pembelajaran. Elemen berdikari, kecekapan dan kemahiran
penggunaan sesuatu bahan pembelajaran dititikberatkan. Justeru pembelajaran
menjadi lebih bermakna, menarik dan berkesan, manakala peluang interaksi dalam
kalangan murid meningkat. Sifat sosial yang positif juga dapat dipupuk menerusi
kaedah kumpulan kecil, uji kaji, projek, perbincangan dan sebagainya (Adenan
Ayob & Khairuddin Mohamad, 2012:136).
Tambah
mereka lagi, pengetahuan abstrak dapat bertukar menjadi konkrit dengan adanya
bahan-bahan yang sesuai mengikut keperluan pembelajaran. Sumber pembelajaran
dikaitkan dengan manusia, bahan bercetak, bahan audio visual dan komputer.
Paparan sumber pembelajaran diperlihatkan seperti berikut:
Jadual 6.1
Jadual Sumber Pembelajaran
Manusia
|
·
Rakan
sebaya
·
Guru
·
Pakar
·
Pegawai
sumber
|
Bahan
bercetak
|
·
Buku
·
Majalah
·
Jurnal
·
Ensiklopedia
·
Akhbar
·
Kad katalog
·
Kamus
·
Manuskrip
|
Bahan audio
visual
|
·
Video
·
Filem
·
Mikrofilem
|
Komputer
|
·
You
tube
·
Internet
·
Slaid
·
Blog
|
Sumber: Adenan Ayob & Khairuddin Mohamad (2012)
6.1.1 Kriteria Pemilihan Bahan
Menurut Adenan Ayob &
Khairuddin Mohamad (2012) menyatakan bahawa sesuatu pemilihan bahan pengajaran
oleh guru perlu memenuhi beberapa kriteria utama. Kriteria-kriteria utama
berkenaan dipaparkan seperti berikut.
Jadual 6.2
Kriteria Pemilihan Bahan Pengajaran
·
Bahan
pengajaran perlu bersesuaian dengan sesuatu aktiviti murid. Isi kandungannya
perlu tepat dan berkait rapat dengan sesuatu topik yang hendak diajarkan.
|
·
Bahan
pengajaran perlu ada implikasi idea-idea yang asli dan tersendiri. Bahan
pembelajaran boleh membantu guru dalam menyampaikan sesuatu konsep dengan lebih
mudah, tepat dan pantas. Murid pula dapat mempelajari sesuatu konsep dengan
mantap, penuh minat dan lebih kekal dalam ingatan.
|
·
Bahan
pengajaran perlu menarik dan berkesan untuk menimbulkan keseronokan serta
minat murid, misalnya penggunaan grafik berwarna-warni dan terdapat variasi
interaktif.
|
·
Bahan
pengajaran perlu disediakan dengan kos yang rendah dan berpatutan. Tidak ada
gunanya jika bahan pengajaran menelan kos perbelanjaan terlalu tinggi, termasuk
masa yang diambil untuk menyediakannya.
|
·
Bahan
pengajaran perlu ada implikasi nilai-nilai murni yang tinggi. Guru tidak
harus menyediakan bahan-bahan yang mengandungi sesuatu unsur yang negatif.
|
Sumber:
Adenan Ayob & Khairuddin Mohamad (2012)
Berdasarkan
kepada dua jadual berikut, memberikan pemahaman kepada pengkaji bahawa sesuatu
bahan bantu mengajar itu perlu dirancang penggunaannya terlebih dahulu sebelum
seseorang guru itu masuk ke kelas. Selain itu, bahan yang digunakan haruslah
dapat menarik minat murid untuk terlibat secara aktif dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, pengkaji berpendapat bahawa jika guru ingin menggunakan
bahan daripada karya agung Melayu sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran,
bahan tersebut perlu diintegrasikan terlebih dahulu. Istilah integrasi yang
digunakan oleh pengkaji ini merujuk kepada transformasi yang perlu dilakukan
oleh seseorang guru tersebut. Pengkaji melihat bahawa penggunaan video
merupakan medium yang sesuai bagi menyelesaikan masalah ini. Hal ini demikian
kerana video menggabungkan pelbagai unsur multimedia lain seperti teks, grafik,
animasi dan audio. Dengan kata yang lebih mudah, guru perlu mengolah teks karya
agung tersebut dan menghasilkan video yang menyamai maksud kandungan teks tersebut.
Misalnya, menghasilkan video yang menggunakan teks yang tidak statik
berdasarkan petikan berikut:
“Hamba dengar
ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya
dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian
daripada kita, dan boleh diingatkan, oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh
faedah ia daripadanya.”
(Sulalatus Salatin, 2006:xxi-xxii)
Petikan di
atas memberikan gambaran kepada kita tentang usaha yang dilakukan oleh warga
terdahulu dalam usaha memelihara sejarah bangsa keturunan kita. Selain itu, Kamaruddin
Husin (1988) menggariskan beberapa kepentingan yang boleh diterap daripada
bahan pengajaran. Kepentingan-kepentingannya adalah seperti berikut:
i.
Mewujudkan
rangsangan dan motivasi murid.
ii.
Menjadikan
pembelajaran lebih kekal dan tekal.
iii.
Menyediakan
pengalaman baharu kepada murid yang tidak boleh didapati dengan mudah oleh
cara-cara lain.
iv.
Menjadikan
pembelajaran lebih dalam dan beraneka ragam.
v.
Menguatkan
kefahaman murid.
6.1.2 Karya Agung Melayu sebagai
Set Induksi
Menurut Adenan Ayob &
Khairuddin Mohamad (2012) menyatakan bahawa kemahiran induksi juga dikenali
sebagai set induksi bermaksud aktiviti ringkas yang dijalankan dalam tempoh
yang singkat untuk merangsang, memotivasikan dan mengembalikan fokus murid
kepada tema atau tajuk pelajaran yang akan disampaikan guru di dalam bilik
darjah.
Tambahnya
lagi, kemahiran induksi membicarakan konsep permulaan sesuatu projek pengajaran
dan pembelajaran. Tujuan utama kemahiran ini untuk membina aliran fikiran
murid-murid, selain menimbulkan minat mereka supaya dapat memusatkan perhatian
terhadap isi pelajaran. Penelitian konsep kemahiran ini merupakan satu cara
permulaan pengajaran bahasa yang berimpak tinggi dan dinamik (Adenan Ayob, Mohd
Rashid Md Idris & Mohd Ra’in Shaari, 2010). Antara objektif kemahiran induksi
ialah
i.
Menarik
perhatian murid.
ii.
Memotivasikan
murid.
iii.
Mengaitkannya
dengan pengalaman lepas.
Seterusnya,
walaupun fasa set induksi hanya 5 hingga ke 7 minit, namun kemahiran set
induksi tetap memberikan kesan yang sama dengan fasa lain dalam sesi pengajaran
dan pembelajaran. Berikut merupakan kesan kemahiran set induksi:
i.
Motivasi
murid-murid terhadap pelajaran akan meningkat. Murid-murid menunjukkan
persediaan yang tinggi untuk mengikuti semua aktiviti pengajaran yang
disediakan guru selanjutnya.
ii. Murid
akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang akan disampaikan. Kesannya
membolehkan guru menjalankan aktiviti pengajaran dengan lancar tanpa sebarang
gangguan yang tidak diingini.
iii. Murid-murid
juga boleh menggunakan pengetahuan yang lepas untuk membina konsep yang baharu
dengan lebih mudah dan bermakna.
iv. Murid-murid
bersedia dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas dan aktiviti
yang diberikan guru.
v. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran akan menjadi aktif dan menyeronokkan.
vi.
Disiplin
murid dapat dikurangkan kerana aktiviti induksi dapat menarik minat murid serta
menumpukan sepenuhnya perhatian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
selanjutnya.
Berdasarkan
konsep, objektif dan kesan daripada kemahiran set induksi ini, pengkaji
merumuskan bahawa guru perlu kreatif semasa mengendalikan fasa tersebut.
Kebiasaannya, kebanyakan guru akan menggunakan kemudahan teknologi sebagai
medium untuk mengendalikan fasa ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengamatan
pengkaji melihat bahawa penggunaan teknologi seperti video, audio, animasi dan
sebagainya dengan kerap juga boleh menimbulkan rasa bosan dalam diri murid.
Pengkaji berpendapat tidak salah sekiranya guru menggunakan teks karya agung
Melayu yang mengandungi tulisan Jawi lama sebagai bahan bantu mengajar semasa
set induksi. Guru boleh mengedarkan lembaran kerja kepada setiap murid dan
meminta mereka untuk merumikan teks tersebut. Sudah pasti akan terdapat
kesalahan dari segi nama individu, tempat dan sebagainya semasa proses
penterjemahan tersebut. Hal ini sudah pastinya akan mewujudkan suasana lucu
semasa murid membentangkan hasil kerja mereka. Seterusnya, secara tidak
langsung akan menimbulkan rasa minat murid untuk terus membaca teks karya agung
Melayu yang lain.
6.2 Teknik Berkesan
Penyampaian Pengajaran Guru
Menurut Adenan Ayob &
Khairuddin Mohamad (2012:201) menyatakan bahawa selain kaedah pengajaran,
teknik juga dapat membantu guru untuk menyampaikan pengajaran yang berkesan.
Teknik yang digunakan hendaklah berharmoni dengan kaedah. Dalam bab ini,
penerangan diberikan dengan menyentuh beberapa teknik lazim untuk pengajaran
bahasa. Ini membabitkan teknik drama yang melibatkan pecahan-pecahan khusus. Di
samping itu, dibicarakan teknik permainan bahasa, latih tubi dan bercerita.
Jadual 6.3
Teknik Penyampaian Pengajaran Berkesan
Teknik Drama
|
·
Merupakan satu pertunjukan yang berlaku penyatuan antara lakonan dan
pengucapan atau persembahan gerak laku serta melakonkan atau meniru
watak-watak.
·
Drama harus ada persoalan, tindakan, perkembangan, klimaks dan
kesimpulan.
·
Melibatkan pergerakan tubuh badan, selain berkait dengan segala bentuk
perlakuan yang meliputi semua kegiatan kehidupan manusia.
·
Dilakonkan oleh watak-watak tertentu sebagai usaha untuk mencerminkan
keadaan sebenar atau meniru cara dan bentuk kegiatan-kegiatan yang berlaku
dalam masyarakat.
·
Tujuan teknik drama digunakan untuk:
-
Melatih murid mengaplikasikan unsur bahasa, paralinguistic; jeda, nada
dan intonasi dan bukan linguistik; mimik muka, gerak tangan, kepala dan
sebagainya dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
-
Dapat mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaan
dengan subjek yang dipelajari.
-
Murid juga bebas meluahkan perasaan, membuat penemuan, memberi dan
berkongsi sesuatu.
-
Sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
-
Dapat menimbulkan keseronokan dan menyuburkan sahsiah.
|
Mimos
|
·
Aktiviti lakonan yang mengutamakan gerak laku seluruh anggota dan
ekspresi muka bagi menyampaikan idea, cerita, perasaan dan emosi pelakon
tanpa dialog.
|
Arca
|
·
Aktiviti dilakukan secara spontan.
·
Menggunakan bahan sokongan seperti patung papet dan lain-lain.
|
Improvisasi
|
·
Dilakukan secara spontan.
·
Mengisahkan kejadian atau peristiwa atau situasi sebenar.
|
Main Peranan
|
·
Murid melakonkan satu watak daripada satu suasana yang dipetik daripada
peristiwa, novel, cerita atau situasi.
|
Simulasi
|
·
Aktiviti ini menggunakan elemen dunia sebenar, selain dapat dibentuk
serta dipersembahkan di dalam bilik darjah.
|
Teater Bercerita
|
·
Melibatkan seorang pencerita yang digabungkan beberapa orang pelakon.
·
Pencerita akan menyampaikan cerita, manakala pelakon beraksi mengikut
watak dalam cerita.
|
Pantomim
|
·
Aktiviti lakonan situasi tanpa dialog, skrip akan dibaca oleh murid lain
yang mengiringi sesuatu lakonan.
|
Mestamu
|
·
Murid melagukan sajak atau puisi tanpa muzik.
|
Dikon
|
·
Murid mendeklamasikan sajak.
·
Beberapa orang murid melakonkan aksi yang sesuai dengan maksud sajak
supaya mudah mengingatinya.
|
Teknik Permainan Bahasa
|
·
Belajar bahasa melalui permainan.
·
Bantu murid memperoleh latihan intensif dan pembelajaran bermakna.
|
Teknik Latih Tubi
|
·
Merupakan aktiviti pengulangan fakta atau kecekapan bertujuan mencapai
taraf penguasaan kemahiran dan kekekalannya.
·
Sesuai digunakan untuk pengajaran bahasa Melayu.
|
Teknik Bercerita
|
·
Sesuai untuk membina kecekapan berbahasa murid.
·
Mampu meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran bahasa.
|
Sumber: Adenan Ayob &
Khairuddin Mohamad (2012)
Berdasarkan jadual berikut memberikan pengetahuan
kepada kita bahawa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terdapat
lebih daripada 10 teknik yang boleh diaplikasikan. Hal ini secara tidak
langsung dapat mewujudkan variasi teknik yang tidak membosankan murid. Namun
begitu, dalam kajian ini pengkaji hanya akan menerangkan secara terperinci
tentang satu teknik pengajaran sahaja, iaitu pengkaji memilih teknik
improvisasi. Berikut merupakan contoh aplikasi teknik improvisasi:
Jadual 6.4
Aplikasi Teknik Improvisasi
Aktiviti
|
·
Dilakukan secara spontan.
·
Mengisahkan kejadian atau peristiwa atau
situasi sebenar.
·
Murid-murid diberikan masa antara 10 hingga
15 minit untuk berfikir dan menyusun dialog.
|
Penglibatan
|
·
Dijalankan dalam kumpulan antara dua hingga lima orang murid.
|
Genre
|
·
Drama, cerpen novel dan prosa klasik.
|
Berdasarkan jadual berikut, pengkaji akan menghuraikan
bagaimana seorang guru boleh menggunakan teknik improvisasi ini sebagai medium
penerapan karya agung Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,
terutamanya dalam subjek bahasa Melayu. Pertama guru perlu menyediakan situasi
yang dipilihnya daripada mana-mana teks karya agung Melayu. Kemudian
membahagikan murid kepada beberapa kumpulan kecil. Seterusnya, murid akan melakukan
aksi mengikut tajuk tugasan yang diterima oleh mereka. Selepas selesai semua
murid melakukan aktiviti tersebut, guru perlu menerangkan tentang bagaimana
situasi-situasi itu boleh dirancangnya, iaitu mengaitkannya dengan teks
daripada karya agung. Akhirnya, guru perlu membaca keseluruhan teks yang
digunakan supaya murid mendapat gambaran yang menyeluruh berkaitan aktiviti
yang dilakukannya bersama rakan-rakan sebelum ini.
7.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, kajian ini
dijalankan sebagai usaha untuk melihat proses penerapan karya agung Melayu
dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Dalam kajian ini pengkaji
lebih memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Melayu.
Selain itu, perbincangan lebih menekankan kepada murid sekolah menengah
berbanding sekolah rendah disebabkan oleh faktor kematangan pemikiran yang
berbeza. Pengkaji juga meninjau kesesuaian penggunaan teks karya agung Melayu
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berdasarkan maklumat dan
data yang diperoleh daripada sumber-sumber rujukan yang terpilih.
Di samping itu, pengkaji juga turut mengupas kepentingan
teknik pengajaran yang sering diabaikan oleh guru kerana kebanyakan guru lebih
menekankan kepada kaedah pengajaran. Dalam kajian ini, pengkaji menyenaraikan
lebih daripada 10 teknik penyampaian pengajaran berkesan oleh guru mengikut
maklumat yang didapati dalam buku rujukan terpilih. Secara keseluruhannya,
pengkaji merumuskan bahawa untuk menerapkan karya agung Melayu dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bukanlah sesuatu yang sukar
sekiranya guru yang terlibat kreatif merancang bentuk dan gaya pengajarannya.
Di samping itu, kesedaran guru juga perlu dalam usaha melihat kajian ini
berjaya kerana guru merupakan watak penting yang boleh menyampaikan kisah-kisah
yang terkandung dalam karya agung Melayu kepada murid. Justeru, penguasaan ilmu
karya agung perlu terlebih dahulu dikuasai oleh guru sebelum beliau
menyampaikan semula kepada anak didiknya.
Bibliografi
Adenan Ayob & Khairuddin Mohamad.
(2012). Kaedah pengajaran
bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Adenan Ayob, Kamariah Abu Bakar, Zakaria Kasa & Aida
Suraya Md Yunus. (2011). Multimedia dalam pengajaran
bahasa Melayu. Tanjong Malim: Emeritus Publications.
Ahmad Fauzi Mohd. Basri. (pngr). (1992). Misa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A. Samad Ahmad. (1979). Sulalatus salatin: sejarah Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Ahmad. (Ed.). (2000). Pengenalan konsep dan
gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan.
Kamarudin Hj. Husin. (1997). Psikologi bilik darjah asas
pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Koh Boh Boon. (1994). Pengajaran sastera dalam pendidikan
bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris & Abu Hassan Abdul. (2010). Falsafah
pendidikan kebangsaan. Tanjong Malim: Emeritus Publications.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd.
Rashid Md. Idris & Naffi Mat. (2013). Penghayatan karya
agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Assalamualaikum wbt. Saya mohon untuk menggunakan tesis ini untuk jadikan bahan untuk membuat ulasan berkaitan dengan sulaltus alatain. Terima kasih
ReplyDelete